Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, February 8, 2011

Alkisah musuh nama www, FB, @

Oleh Hishamuddin Rais

Guruh bergema gegak gempita. Alam menjadi gelap-gelita. Tiupan angin makin lama makin kencang. Seolah-olah ada yang terus meniupkan angin sangkakala. Ini disambut pula oleh petir sabung-menyabung.

Sesekali bunyi halilintar memecah bumi. Air sungai semakin deras. Ombak laut mula bergelora. Maka turunlah hujan seperti seperti gajah terkencing berdiri. Inilah tanda sebuah negera yang sedang dilanggar bencana.

Maka tabuh dipalu. Beduk diketuk. Maka segala bala tentera, soldadu jantan dan betina semuanya dipanggil datang mengadap ke Balairung. Di balai kelihatan seorang jantan gemuk, pendek dan hitam sedang mengarahkan soldadu dan laskar untuk tegak berdiri.

Tidak berapa jauh dari pintu kelihatan seorang jantan kepala botak, berambut sejemput, berperut gendut, tidak berbaju, memakai cawat berwarna kuning sedang membakar kemenyan.


Maka gong pun dipalu lagi. Semua senyap dan sepi macam "mat pet" baru selesai berasap. Di saat dan ketikanya maka muncul Tok Seri, terus masuk ke Balairung. Tok Seri diikuti oleh segala para menteri. Apit di kiri Menteri Dalam, apit di kanan Menteri Luar.

Kemudian dibontoti oleh Menteri Beras, Menteri Duit dan Menteri Heboh. Di belakang semua ini ialah juak dan sida, dayang, hamba sahaya, tok penggawa, tok penghulu, tukang kipas dan tukang bodek.

Para soldadu, panglima dan laskar semuanya siap-siaga tegak berdiri, tunduk memandang ke bumi takut untuk melihat muka sang menteri. Maka Tok Seri pun duduklah di tilam pandak untuk menerima semua laporan dan sembah tentang kedudukan negara.

Maka Menteri Dalam membuka kisah bahawa negara sedang kelam lagi resah. Kini negeri sedang diserang bertalu-talu. Hinggakan saham bas mini jatuh mendadak. Hinggakan akhbar Meloya bertimbun-timbun tidak laku.

Menteri Heboh pun turut menyampuk dan menerangkan yang Jabatan Pengheboh dan para juruheboh upahan sedang cuba mengenal segala angkara.

Menteri Duit membuat hitungan jika serangan ini berterusan maka negara ini akan bankrap dalam masa yang tidak lama. Pelabur luar telah ramai lari. Kilang akan ditutup. Dan paling ngeri sekali, duit rasuah sudah tidak masuk lagi.

Ini amat amat menyusahkan ketika ini sedang mengumpul dana persediaan untuk membuat pilihan raya ke-13.

Menteri Beras memberitahu jika keadaan ini berterusan maka besar kemungkinan negara ini terpaksa makan keladi hutan. Ini kerana nilai wang jatuh dan tidak ada modal untuk mengimpot beras.

Bila mendengar laporan ini semakin banyak rambut Tok Seri yang gugur. Tok Seri mengetuk-ngetok kepalanya yang botak dan dia bertempik marah.

Ekornya bergulung-gulung

"Siapa yang berani menyerang kita? Pakatan siapa yang berani menyerang kita. Kita akan bertahan hingga hingus kita kering. Jangan siapa berani mencabar."

"Musuh baru melanggar kita, Tok Seri. Nak katakan geruda bukan geruda. Nak kata unggas bukan unggas. Tapi Musuh ini berkepak. Nak kata hantu bukan hantu. Tapi sekejap hilang sekejap muncul. Nak kata bini puaka pun bukan.

Bila nak ditangkap dia hilang. Kita lari dia datang. Kuman pun bukan hama pun bukan. Bukan ulat bukan binatang. Ada kecil, ada besar. Boleh dilihat tapi tak dapat dipegang. Kadang kadang ramai, kadang kadang sedikit,” sahut Menteri Dalam.

"Musuh jenis apa ni? Jangan buat silap mata dengan aku," Tok Seri bertanya marah, tetapi penuh hairan.

"Ada ekornya bergulung-gulung. Ada kepak macam tiga ekor garuda. Macam rupa bentuk kereta pun ada.Selalu datang dengan kawannya bila menyerang," jelas Menteri Dalam lagi.

Semua dalam balairung senyap. Tidak ada sesiapa yang berani berkata apa-apa. Mereka semua amat sedar yang negara ini sedang diserang oleh sejenis musuh yang baru.

"Apakah ini garuda menyerang kita? Ada kepak, ada ekor bergulung-gulung. Kenapa pula rupa macam jenis kereta? Mana Guru Ji Bomoh Negara yang kita impot dari Bombay? Datang ke sini!" arah Tok Seri.

Maka jantan kepala botak, berambut sejemput dan berperut gendut tidak berbaju serta hanya mamakai cawat berwarna kuning terkedik-kedik datang ke hadapan Tok Seri. Dia menonggeng dan kemudian mencium buku lali Tok Seri.

Guru Ji terus terkumat-kamit mulutnya sambil membakar kemenyan dalam batil. Semua menunggu apakah yang akan ditemui oleh Guru Ji.

Musuh negara numero uno

"Wahai Tok Seri Jantan Mongoli, ada pun musuh ini datang dari negeri atas angin. Ada yang datang mengikut jalan laut. Ada yang datang mengikut jalan udara. Mereka halus tapi bukan polong. Mereka halimunan tapi bukan hantu.

Mereka bahaya tetapi bukan kuman. Mereka ini macam polong tak bertuan. Berkepak bersayap tapi bukan garuda. Mereka telah dilepas bebas oleh Ronald Reagan," terang Bomoh Negara.

"Berkepak macam mana?'" tanya Tok Seri dengan penuh kehairanan.

Yang lain pun turut sama hairan.

"Musuh ini bernama www, yang berkepak macam tiga ekor burung enggang terbang jauh di awan. Kawan dia ekornya bergulung. Nak kata A bukan A, nak kata C bukan C, inilah rupanya '@'.

"Inilah musuh yang sedang menyerang negeri kita. www ini bukan kereta Wok Wigan dari Jerman, wahai Tok Seri Jantan Mongoli," kata Guru Ji sambil meneran dan kemudian terus berundur.

"Menteri Dalam, kalau begitu, tangkap segera www dan kawan dia yang bernama @. Kita haramkan www, kita tangkap www, tangkap dan bunuh dengan senjata beracun kita.

"Apa jadi dengan Akta Mesin Cetak kita? Kita boleh hapuskan www dengan akta ini," perintah To Seri dengan bengis.

Maka semenjak petang itu, diketahui oleh para menteri siapa sebenarnya musuh negara ini. Maka segala bala- tentera, soldadu jantan dan betina telah di kerah untuk mencari dan menangkap www dan kawanya yang berekor-ekor, yang bernama @.

Jika sesiapa ada menemui www dan tidak melaporkan kepada polis maka orang ini akan ditahan untuk disoal-siasat di tingkat 14.

Tabuh dipukul, canang dipalu. Menteri Heboh masuk kampung, keluar kampung sambil menerangkan kepada sesiapa yang masih dalam gelap tentang siapa sebenarnya musuh negara ini.

Manakala Menteri Dalam dengan tergesa-gesa, belum pun sempat berfikir panjang telah meluluskan satu akta baru untuk mengetatkan lagi Akta Mesin Cetak.

Akta dan undang-undang baru telah diluluskan tanpa bantahan dalam parlimen.

Maka dengan akta baru ini, sesiapa sahaja yang kenal, yang tahu, yang melihat, yang ternampak, yang membaca, yang menghidu, yang menggunakan atau yang berfikir tentang www, atau kawan www yang bernama @, maka orang ini akan ditangkap.

Sesiapa sahaja, tidak kira jantan atau betina, tua atau muda, jika dituduh oleh akhbar sebagai pengikut ajaran sesat dan boleh ditangkap. www secara rasmi telah dinobatkan sebagai musuh negara numero uno.

Menyuarat sulit

Sepurnama setelah akta ini diheboh-hebohkan, kelihatan serangan agak kendur dan mula reda. Tetapi yang menjadikan suasana bertambah pelik apabila serangan berkurangan, rakyat seantero negeri kelihatan resah, sugul dan gelisah macam gian dadah.

Tidak diketahui kenapa rakyat satu negara suka negeri mereka diserang. Bila musuh menyerang rakyat jadi gembira. Ada sesutu yang amat pelik sedang berlaku di negeri ini.

Tiga purnama satelah akta baru dijalankan, maka sekali halilintar memecah bumi. Hujan turun bergantang-gantang. Angin puting-beliung datang menyapu.

Kali ini berita baru diterima oleh Menteri Dalam bahawa rupa-rupanya www ada seorang lagi kawan yang wujudnya dahulu tidak disedari. Tok Seri menyinga marah. Dia memanggil Menteri Heboh dan Menteri Dalam datang mengadap.

Menurut laporan tiga badan risikan negara - Jawi, Jakim dan Juwiee - kawan kepada www ini lebih ganas lagi. Kawan www ini agak muda umurnya dan tugasnya hanyalah meracun kepala anak-anak muda seluruh negara untuk membenci kerajaan Tok Seri.

Guru Ji dipanggil sekali lagi untuk menentukan siapakah kawan baru www ini.

Dari tilikan Guru Ji, musuh baru yang meracun anak-anak muda ini bernama FB. Jangan silap dan jangan salah sangka, FB ini bukan jenama sabun yang boleh membersihkan pakaian. FB ini cukup lincah dan cukup licik.

Dari satu FB boleh menjadi seratus FB, dari seratus FB boleh menjadi seribu. Dan FB ini terus berganda- ganda. Amatlah susah hendak dikalahkan. Apabila Menteri Dalam sedar hal ini maka akta Mesin Cetak dipinda dan dimasukkan sama FB sebagai musuh negara.

Mengikut tuan empunya cerita, apabila rakyat mengetahui adanya serangan baru dari FB, maka sekali lagi rakyat bergembira. Anak-anak muda bukan membantu kerajan menumpaskan FB malah mereka merayakan kesampaian FB.

Bila berita kegembiraan anak-anak muda ini diketahui oleh Menteri Dalam, maka satu persidangan sulit telah diadakan.

Ketika mesyuarat sulit para menteri sedang berjalan - untuk menyedapkan cerita - ada satu lagi musuh baru akan datang. Musuh ini juga adalah suku sakat kepada www.

Musuh baru ini lagi amat merbahaya kerana tidak diketahui letupan apa yang akan dibawanya.

Musuh baru ini bernama www.wikiliks yang rupanya adalah sepupu kepada WWW dan ada pertalian saudara juga dengan @. Ketika riwayat ini diturunkan dari mulut ke mulut, menyuarat sulit para menteri masih lagi berjalan.

Dari berita yang didengar, belum ditemui lagi satu senjata untuk mengalahkan www dan suku sakatnya.

Oleh kerana itu, walau pun hujan turun macam gajah kencing berdiri, guruh berbunyi memekakkan telinga dan guruh berdentam-dentum, rakyat satu negara masih bergembira.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular