Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, January 9, 2011

Pemimpin NUPW mahu tanding calon Bebas


LABIS, 8 Jan – Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hujung bulan ini bukan sahaja akan menyaksikan pertandingan di antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, tetapi juga berkemungkinan calon Bebas.

Ini berikutan hasrat G. Sivanandan, 50, seorang pemimpin tempatan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Ladang (NUPW) untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu bagi mewakili suara hampir 800 pengundi berdaftar di kalangan pekerja ladang di DUN Tenang.

“Nasib dan kebajikan pekerja ladang perlu dibela dan pencalonan saya sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu adalah untuk mewakili suara mereka (pekerja ladang DUN Tenang),” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau yang tinggal di pekan Chaah dan telah bergiat aktif di dalam NUPW kawasan tempatan selama 20 tahun mendakwa mendapat sokongan kuat daripada keseluruhan pekerja ladang di DUN Tenang.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, allahyarham Datuk Sulaiman Taha daripada BN pada 17 Disember lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Proses penamaan calon telah ditetapkan pada 22 Januari ini.

DUN Tenang mempunyai empat buah ladang kelapa sawit iaitu Ladang North Labis, Ladang Sungai Labis, Ladang Voules dan Ladang Bukit Datok.

Sivanandan berkata, sokongan kuat yang diterimanya daripada pekerja ladang di DUN Tenang itu disebabkan oleh kekecewaan terhadap taraf hidup dan gaji rendah yang diterima oleh pekerja terbabit daripada majikan mereka.

Beliau bagaimanapun bersedia untuk mengkaji semula keputusannya hendak bertanding pada pilihan raya kecil itu, jika kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja ladang itu.

“Saya bersedia menarik diri (daripada bertanding) jika kerajaan dapat memperbaiki kehidupan pekerja ladang,” katanya dan menambah beliau berhasrat berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyampaikan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja ladang.

Beliau berkata pada ketika ini gaji yang diterima oleh pekerja ladang adalah di antara RM20 hingga RM30 sehari dan jumlah itu adalah tidak mencukupi untuk menampung kehidupan keluarga mereka.

“Gaji yang diterima itu tidak termasuk potongan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Socso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), bayaran elektrik dan air, kos persekolahan anak-anak, pinjaman, makanan dan lain-lain. Kehidupan mereka memang amat susah,” kata beliau.

Sivanandan berharap kerajaan mengambil perhatian serius dan menyelesaikan masalah yang telah membelenggu pekerja-pekerja ladang sejak sekian lama.

Ditanya sama ada beliau menganggotai parti politik, beliau menafikan pernah menjadi anggota parti politik atau memegang jawatan di dalam mana-mana parti politik tempatan.

“Bagaimanapun, parti-parti pembangkang memang meminta saya supaya meneruskan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas dengan alasan untuk memecahkan undi Barisan Nasional pada pilihan raya kecil itu,” dakwanya. – Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular