Sekiranya kita mengkaji Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), kita akan mendapati laporan mereka tertumpu kepada empat projek yang diperuntukkan kepada KEMENTAH dan lima projek untuk Kementerian Dalam Negeri untuk diaudit.
Kesimpulan mudah yang boleh dibuat atas laporan tersebut - seperti ianya mengalami masalah dalam pemantauan dan pelan yang rumit, mengakibatkan semua projek yang diaudit berlaku penyelewengan dan kelemahan yang boleh dielakkan pada peringkat awal. Seperti yang kita sedia maklum, semua kementerian persekutuan mempunyai Unit Audit Dalam yang berperanan memantau projek-projek, tetapi perkara-perkara yang diumumkan di dalam Laporan Ketua Audit seolah-olah menunjukkan Unit tersebut tidak berprestasi baik, seperti sedang bercuti di sebuah pulau terpencil. Bermula daripada itu, pihak yang menelaah Laporan tersebut akan bertanya-tanya, adakah Unit ini mempunyai daya saing dalam perkara tersebut?
Pada muka surat ke-423 laporan tersebut, Ketua Audit Negara mencadangkan supaya mewujudkan Independent Review Panel bagi projek-projek besar yang kosnya melebihi RM100 juta untuk membuat penilaian bebas untuk KEMENTAH. Cadangan tersebut sebenarnya telah dibuat dua tahun dulu tetapi ditolak oleh kerajaan, dan ia mengitar semula cadangan-cadangan tersebut dan mengharapkan pucuk pimpinan kementerian yang baru mempertimbangkan semula cadangan mereka ini (dalam menubuhkan panel).
Fungsi panel ini dipertikaikan kewibawaan mereka dalam menyumbang ke arah kebaikan sesebuah kementerian. Adakah panel ini mempunyai kerjasama erat dengan Kementerian dalam memperolehi segala macam rahsia rasmi kementerian, khususnya Kementerian Pertahanan yang tidak dapat diakses mahupun di kalangan Ahli Parlimen sendiri?
Panel ini dicadangkan oleh Public Accounts Committee (PAC) agar segala maklumat dapat dipantau dan dikawalselia tetapi cadangan tersebut yang diusulkan sejak tahun 2008 ditolak. Perkara ini penting kerana KEMENTAH didapati menggunakan perolehan yang amat tinggi berbanding dengan kementerian yang lain dan orang awam, khususnya pembayar cukai tidak mengetahuinya. Ini bermakna, Ketua Audit Negara mempunyai masalah dalam mengaudit KEMENTAH.
Menteri Pertahanan pernah mengulas bahawa belanjawan KEMENTAH akan dikurangkan sehingga RM9 billion pada tahun 2011, tapi angka-angka yang ditunjukkan dalam laporan belanjawan memaparkan pandangan yang langsung berlainan; belanjawan KEMENTAH 2011 mencecah RM13.8 billion, di mana tahun 2010 cuma mempunyai RM 11 billion sahaja. Belanjawan pembangunan pada tahun 2011 ialah RM3.29 billion, manakala tahun 2010 cuma ada RM 1.9 billion. Ini bermakna kementerian mungkin akan melaksanakan projek perolehan besar pada 2011. Mengapakah Menteri sengaja menyatakan angka-angka yang lebih rendah daripada peruntukan sebenar?
Difahamkan tentera darat telah memutuskan penggunaan sistem peluru berpandu jarak dekat FN-6, menggantikan sistem Starburst dalam RMK 10. Ini adalah penting tetapi maklumat sedemikian juga tidak dibenarkan diketahui umum. Peluru berpandu yang kita sedang gunakan, Starbust adalah teknologi yang dicipta pada tahun 1980-an dan sudah luput kematangannya. Cadangan tersebut amat baik bagi kepentingan KEMENTAH dan Negara. Tetapi yang menjadi persoalannya, apakah harga yang dibeli dan ditawarkan oleh China sebagai negara pengeluar? Ini juga, bagi pendapat KEMENTAH menjadi kerahsiaan umum.
Pernah apabila senarai-senarai perolehan kelengkapan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh diminta di Parlimen, ianya ditolak, apakah alasan ini ditolak? Sekiranya senarai perolehan RMK 9 yang sama telah diumumkan dalam dewan parlimen pada tahun 2009, mengapakah senarai RMK10 tidak boleh diumumkan? Adakah secara tiba-tiba selepas tahun 2009, perolehan kelengkapan Kementerian menjadi rahsia rasmi? Adakah pecahan jenis, fungsi, bilangan dan peruntukan perolehan setiap jenis kelengkapan ketenteraan tidak boleh diketahui umum?
Bermulalah persoalan kredibiliti KEMENTAH pula dipertikaikan pula. Senarai ini langsung sama-sekali tidak menyentuh sebarang rahsia kerana pengumuman senarai perolehan pertahanan adalah perbuatan yang biasa dan digalakkan di dalam negera demokrasi. Seperti juga Dasar Pertahanan Negara dan kertas putih pertahanan perlu diumumkan secepat mungkin. Sehingga kini, dokumen tersebut menjadi rahsia kerajaan.
Spratly
Salah satu lagi isu yang menjadi persoalan kita, terutama sekali mereka yang ingin mengetahui mengenai hubungan dan persetujuan Asean, isu Spratly sehingga sekarang menjadi tanda tanya dan banyak persoalan yang tidak dapat diperolehi daripada Kerajaan khususnya KEMENTAH itu sendiri, selain daripada Kementerian Luar.
Spratly sehingga kini menjadi rebutan di antara Malaysia, Vietnam, Brunei Darussalam, Filipina, Thailand dan China. Beberapa faktor kepulauan Spratly ini menjadi rebutan banyak negara jiran kerana kandungan isi lautnya yang kaya dengan petroleum dan gas. Buat masa sekarang, Malaysia mengaut 80% daripada hasil galian dari kepulauan tersebut. Justeru, menjaga kepentingan kepulauan tersebut menjadi tanggungjawab KEMENTAH.
Malah, Amerika Syarikat juga diperlihatkan giat dalam campur tangan dalam isu pertikaian Spratly dan beberapa kali menyuarakan sokongan agar ASEAN bergabung sama untuk menentang China. Namun, sekali lagi masalah ketelusan timbul di sini. Rakyat masih tidak mengetahui hasil perbincangan yang sekian lama dialami ini. Persoalan ini juga termasuk pendirian Malaysia terhadap cadangan pembangunan bersama di rantau tersebut. Kementerian Luar Negeri pula sering berbelok-belok ketika persoalan Spratly ini dibangkitkan.
Isu berhubung tuntutan ke atas pulau-pulau, terumbu dan kawasan maritim ini ditangani berasaskan kpeada semangat dan aspirasi yang terkandung dalam Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang ditandatangani oleh negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China pada 4 November 2002. Melalui Deklarasi ini, pihak-pihak yang mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan bertekad untuk menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan berhubung tuntutan wilayah maritim bertindih di Laut China Selatan secara damai melalui jalan perundingan tanpa menggunakan kekerasan atau pun ugutan.
Dalam masa yang sama, usaha-usaha juga diambil bagi membina keyakinan (confidence building) di antara negara-negara yang terlibat. Dalam hal ini, sukacita saya ingin memaklumkan perbincangan sedang dijalankan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kerjasama di bawah kerangka DOC bagi mengingkatkan keyakinan dan mengelakkan ketegangan di kawasan Laut China Selatan.
Beginilah jawapan yang dijawab oleh Menteri Luar Negeri pada 28 Julai 2010 ketika ditanya mengenai isu Sratly:
"Malaysia sentiasa peka dengan isu-isu yang melibatkan tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau dan wilayah Malaysia. Usaha-usaha sentiasa dilaksanakan demi mengukuhkan tuntutan Malaysia ke atas ciri-ciri geografi di kawasan maritim berkenaan. Malaysia percaya penyelesaian kepada isu tuntutan bertindih boleh dicapai melalui perbincangan secara damai tanpa menggunakan kekerasan. Dalam hal ini, Malaysia sentiasa mewujudkan rundingan dua hala dengan negara jirannya bagi membataskan sempadan di kawasan di mana belum ada lagi perjanjian sempadan maritim. Malaysia berpendirian bahawa tuntutan bertindih wajar diselesaikan secara rundingan dua hala dan rujukan kepada pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Tribunal Timbang Tara adalah merupakan opsyen terakhir di dalam mencapai penyelesaian.
Dalam masa yang sama, Malaysia juga sentiasa mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku. Pada masa ini, Malaysia berpandangan bahawa isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan wajar diselesaikan secara dua hala atau pelbagai hala dan hanya melibatkan negara-negara yang mempunyai tuntutan bertindih. Pada masa ini, tidak ada sebarang cadangan daripada mana-mana negara ASEAN yang mempunyai tuntutan bertindih untuk bergabung sebagai satu entiti dan beruding dengan Republik Rakyat China".
Jawapannya berjela tetapi masih tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan.
*Faisal Mustaffa ialah penulis bebas. (Merdeka Review)