Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, January 10, 2012

Itqanulmuluk Bi Ta’dilissuluk; Roh perundangan Islam menjadi petunjuk pemerintah Terengganu

Latar Belakang Itqanumuluklbi ta’dilissuluk
Islam dan pemerintahan di Terengganu bukanlah satu perkara asing. Sejarah telah membuktikan kedatangan Islam ke Tanah Melayu bermula di negeri ini, bukan sahaja bukti kedatangan Islam bahkan bukti pemerintahan yang berlandaskan Islam dengan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Batu Bersurat.

Tarikh 11 Zulkaedah 1329 H bersamaan 2 November 1911 M menjadi tarikh yang bersejarah bagi negeri Terengganu secara khususnya.

Sekali lagi Terengganu melakar sejarah kegemilangan Islamnya apabila Almarhum Sultan Zainal Abidin III meletakkan Islam sebagai perlembagaan tertinggi bagi negeri Terengganu sekaligus mengisytiharkan Terengganu sebagai Wilayah Islamiyyah Malayuwiyyah. Tahun 2011 genap 100 tahun sejarah ini terukir, satu titik sejarah yang mesti diingati oleh umat Islam di Terengganu secara khususnya dan di rantau ini secara umumnya.

Apa yang dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin III adalah kesinambungan pelaksanaan Islam di negeri Terengganu yang terbukti daripada penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh, Kuala Berang, Islam dijadikan sebagai cara hidup khususnya di dalam urusan pemerintahan walaupun ianya tidak bertulis, sehinggalah masuknya campurtangan British yang berusaha untuk menjajah Terengganu; maka Almarhum Sultan Zainal Abidin III, para ulama dan pembesar negeri telah melakukan satu langkah yang bijaksana untuk menyelamatkan Terengganu daripada tangan penjajah British dengan mewujudkan undang-undang tubuh bagi negeri Terengganu yang mana antara kandungannya ialah mengisyhtiharkan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri Islam Melayu yang merdeka dan berdaulat dan menjadikan ugama Islam selama-lamanya sebagai ugama rasmi negeri dan kerajaan.

Perlembagaan Itqanulmulmuluk bi ta’dilissuluk memberi maksud ketelitian raja-raja dengan mengikut tingkah laku yang betul. Roh atau semangat daripada perlembagaan ini ialah menggariskan garis panduan ke atas mana-mana raja yang mahu memerintah negeri Terengganu, mereka mestilah mengikut hukum-hakam Islam dan tidak boleh sama sekali memberikan wala dan kepatuhan kepada penjajah-penjajah.

Peletakan perlembagaan ini sekurang-kurangnya mengurangkan mudharat ke atas negeri Terengganu dari dijajah oleh penjajah-penjajah asing. Ini kerana pada zaman tersebut boleh dikatakan kesemua negara-negara umat Islam dijajah oleh penjajah-penjajah asing, maka tindakan Almarhum Sultan Zainal Abidin III adalah satu tindakan yang sangat bijaksana paling kurang boleh menyelamatkan Terengganu dijajah oleh penjajah secara total.

Di zamannya dilaksanakan hukum jenayah Islam, hudud dan qisas walaupun fakta ini tidak didapati secara bertulis kerana rujukan pelaksanaan hukum-hakam ini dirujuk terus daripada kitab-kitab fiqh jawi yang sudah ada pada ketika itu seperti kitab Matla’ulbadrain karangan Syeikh Daud Fatani dan lain-lain lagi. Ditambah lagi Almarhum Sultan Zainal Abidin III bukan sahaja terkenal dengan kebijaksanaannya dalam pemerintahan bahkan juga baginda adalah seorang ulama yang mengetahui selok belok hukum hakam syara dan pernah berguru dengan ulama-ulama daripada Fatani.

Terdapat juga bukti-bukti yang diakui oleh sejarah seperti kewujudan penjara yang dibuat daripada buluh di Kampung Atas Tol dan di tempat-tempat lain. Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menguatkan lagi fakta ini di dalam ucapan perasmian Perayaan 100 tahun Itqanulmuluk bi ta’dilissuluk yang diadakan di Kuala Berang pada 7 Januari 2012 yang lepas, apabila mengisahkan satu kisah yang diceritakan turun menurun daripada orang-orang tua berkait dengan seorang lelaki di zaman itu yang digelar sebagai Pak Mat Kawah telah dijatuhkan hukuman hudud potong tangan kerana mencuri.

Enakmen Jenayah Syariah Terengganu

Islam dan pemerintahan di Terengganu tidak berhenti dengan pembatalan perlembagaan Itqanulmuluk bi ta’dilissuluk pada tahun 1919. Lahirnya pejuang-pejuang Islam untuk mengembalikan Terengganu kepada landasannya yang asal seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dan rakan-rakan yang seangkatan dengannya. Beliau telah menubuhkan Parti Syarikat Islam di beberapa daerah seperti Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut. Pada tahun 1948 tertubuhnya Hizbul Muslimin dan ianya dibubarkan pada tahun yang sama oleh pihak British dan pada tahun 1951 tertubuhnya Parti Islam Semalaysia ( PAS ) yang berjuang melalui pilihanraya bagi menubuhkan sebuah pemerintahan berlandaskan Islam.

Pada pilihanraya pertama yang diadakan pada 1959 PAS menyertainya dan memenangi negeri Terengganu dan Kelantan walaupun begitu pemerintahan PAS di Terengganu hanya bertahan sehingga 1961. Pada tahun 1999 sekali lagi PAS diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah Terengganu. Di antara langkah yang diambil ialah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam ( Terengganu ) (Pindaan) 2003 yang telah dikemukakan oleh ADUN Manir, Ustaz Dato Haji Harun Taib. Enakmen ini bertujuan mendaulatkan Al-Quran, As-Sunnah, ijma dan qiyas sebagai hukum tertinggi bagi negeri Terengganu Darul Iman. Di antara isi yang penting kepada penetapan undang-undang tubuh yang baru ini ialah kelulusan Kanun Jenayah Syariah termasuk hukum hudud, qisas dan ta’zir. Langkah ini dilihat sebagai untuk mengembalikan Terengganu ke landasannya yang asal yang gagal dilakukan oleh UMNO yang memerintah Terengganu selama lebih daripada 40 tahun.

Tindakan Badan Perhubungan PAS Terengganu untuk menyambut dan memperingati 100 tahun Itqanulmuluk bi ta’dili ssuluk adalah satu tindakan yang terpuji dan sangat tepat pada masanya kerana dengan usaha ini sekurang-kurangnya memberikan peringatan kepada rakyat negeri ini akan kehebatan sejarah Islamnya. Perlu difahami bahawa kehebatan tamadun Islam bukan kerana kehebatan bangsa atau keturunan tetapi adalah kerana kehebatan ruh Islam yang ada di dalam diri umat Islam itu sendiri. Kalau bukan kerana Islam bangsa Arab tidak mungkin boleh memerintah satu pertiga dunia di zaman Khulafa Rashidin, Kerajaan Umawiyyah dan Abbasiyyah. Kalau bukan kerana Islam bangsa Monggol dan Tatar tidak akan tunduk kepada mereka. Kalau bukan kerana Islam Salahuddin Al-Ayyubi tidak boleh menundukkan bala tentera Salib. Kalau bukan kerana Islam bangsa Turki tidak boleh menawan kota Konstentinabal.

Rakyat Terengganu perlu memuhasabah akan hakikat ini dengan mengingati titik peluh perjuangan orang terdahulu untuk mengekalkan pemerintahan Islam di bumi Darul Iman ini dan juga menginsafi bahawa jatidiri rakyat Terengganu adalah Islam yang telah membawa keunggulan mereka di Tanah Melayu ini bukannya dasar-dasar perjuangan yang lain.

****Penulisan adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Marang Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular