Fayyadh Afiq Albakqry, pengawal peribadi kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail disyaki disuntik racun dan menyebabkannya pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya, tengah malam tadi.
Fayyad dipercayai diserang menerusi suntikan di telapak tangan kiri sewaktu mengiringi Wan Azizah meredah kesesakan orang ramai ke pentas ceramah di Kampung Cherok Tok Kun .
Mangsa dikatakan ada meminta ais daripada wartawan PenangDaily, Zainulfaqar kerana tangannya berasa kebas, sebelum pengsan kira-kira 15 minit selepas terkena suntikan itu.
“Masa nak masuk sini, dia (Fayyad) dah minta ais sebab tangannya kebas. Masa bawa Kak Wan Azizah keluar tadi, dia dikejar ke hospital,” tulis Zainulfaqar di twitter.
Beliau juga memetik sumber dikenali sebagai Zul Saad yang menyatakan Wan Azizah menangis berikutan keadaan Fayyah ketika pengawal peribadi itu belum sedarkan diri.
Fayyad adalah pegawal peribadi Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang patah tulang pipi akibat terkena kelongsong gas pemedih mata ketika demonstrasi Bersih 2.0.
Semakan melalui akuan blog mikro itu mendapati rakyat yang begitu marahkan kejadian itu, percaya Fayyah bukan sasaran sebenar suntikan racun berkenaan, sebaliknya ia disyaki disasarkan kepada Wan Azizah.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Najwan Halimi pula berkata, keadaan Fayyad stabil dan sudah sedarkan diri tetapi tangan kiri sehingga bahu dilapor kebas dan gagal digerakkan.
“Doktor sedang membuat ujian darah dan air kencing utk pastikan jenis racun,” katanya melalui twitter selepas menghubungi Wan Azizah tidak lama selepas kejadian.
Pengawal peribadi Dr Wan Azizah pengsan, didakwa diracun
Pengawal peribadi presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dimasukkan ke hospital semalam selepas disyaki diserang dengan didakwa dicucuk dengan objek tajam yang beracun.
Menurut seorang pembantu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kejadian itu berlaku selepas tamatnya satu ceramah di kampung halamannya di Cherok Tok Kun, Pulau Pinang.
Pengawal peribadi tersebut, Fayyadh Afiq Albakqry (kiri sekali), mengiringi Wan Azizah beredar melalui orang ramai yang hadir di ceramah tersebut pada kira-kira jam 10 malam apabila kejadian tersebut dikatakan berlaku.
Fayyadh sedang mengiringi Wan Azizah ke satu lagi ceramah di Parit Buntar, Perak tetapi dia mula berasa sakit dan akhirnya tidak sedarkan diri sewaktu dalam perjalanan tersebut.
Berikutan itu, Wan Azizah mengarahkan pemandunya berpatah balik menuju ke utara untuk membawa Fayyadh ke hospital Jaya Seberang.
Menurut ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid, pada mulanya, Fayyadh berdarah selepas tangannya cedera terkena objek yang tajam, tetapi mereka memutuskan untuk meneruskan perjalanan ke Parit Buntar.
Bagaimanapun, katanya, selepas Fayyadh sakit, mereka mengesyaki dia mungkin diracun semasa serangan tersebut.
Berita mengenai serangan tersebut tersebar dengan cepat melalui Twitter dengan beberapa individu mendakwa Fayyadh mungkin menghalang serangan terhadap Wan Azizah.
Sesetengah tweets mendakwa jantung Fayyadh berhenti berdenyut berikutan dakwaan serangan tersebut, tetapi para pemimpin PKR kemudian menulis melalui tweet menyatakan pengawal peribadi itu dalam keadaan stabil dan telah sedar semula.
Juga dilaporkan di twitter bahawa lebih daripada 100 penyokong PKR dan Pakatan Rakyat berada di hospital untuk mendoakan supaya Fayyadh pulih.
Wan Azizah adalah antara puluhan pemimpin PKR yang sedang menjelajah ke negara dalam siri ceramah umum menjelang keputusan perbicaraan kes liwat II Isnin ini.
Anwar pula berada di Kuala Terengganu menghadiri satu lagi ceramah umum di negeri itu ketika serangan tersebut dikatakan berlaku.
Fayyadh juga merupakan pengawal peribadi yang sama yang didakwa terkena tembakan kanister gas pemedih mata ketika melindungi Anwar semasa perhimpunan BERSIH 2.0.
Fayyadh dijadual menghadiri pendengaran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai dakwaan kekerasan pihak polis semasa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai.