Tinggal sehari sahaja lagi sebelum kita mengetahui keputusan perbicaraan kes liwat 2 yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tidak mengira samada kawan mahupun lawan beliau, debaran yang dirasai juga semakin memuncak sama seperti debaran menunggu keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.
Apatah lagi, keputusan mahkamah mendapati Anwar bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara nanti dianggap akan mempengaruhi corak lanskap politik negara.
Sementara itu, bagi majoriti penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR), mereka percaya bahawa wujudnya tangan-tangan hitam di sebalik perjalanan perbicaraan ini termasuk dalam menentukan keputusan perbicaraan ini.
Sekiranya benar seperti yang didakwa, apakah keputusan yang menjadi pilihan tangan-tangan hitam tersebut agak-agaknya?
Sekiranya memenjarakan Anwar
Adakah dengan memenjarakan Anwar, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan memperolehi lebih keuntungan politik berbanding membebaskan Anwar.
Saya beranggapan keputusan memenjarakan Anwar adalah satu keputusan merugikan mereka yang hanya akan mempercepatkan riwayat kerajaan Umno dan BN ditamatkan.
Kekuatan kerajaan BN pada masa ini lebih banyak bergantung kepada undi orang-orang Melayu penyokong setia Umno berbanding undi dari penyokong MCA dan MIC.
Seperti mana yang diumumkan oleh Anwar baru-baru ini, PR telah pun menyediakan PM alternatif mereka bagi mengambil tempat Anwar sekiranya Anwar dipenjarakan dan PR pula memenangi PRU-13 nanti.
Tindakan mereka tidak mengumumkan siapakah yang dipilih sebagai PM alternatif itu boleh dianggap sebagai tindakan politik yang bijak dengan membiarkan musuh mereka terus tertanya-tanya siapakah yang diangkat sebagai PM alternatif itu.
Keadaan ini menyebabkan beberapa nama dalam PAS seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Hj Hadi Awang disebut-sebut sebagai pemimpin yang layak memikul tanggungjawab itu nanti.
Sekiranya benar, keputusan tersebut dianggap menyulitkan Umno dan BN kerana Pas dikatakan mampu memcahkah undi orang-orang Melayu terhadap Umno.
Selain itu, Umno dan BN akan sekali lagi dipaksa berhadapan dengan gelombang kebangkitan rakyat seperti mana yang berlaku dalam pilihan raya tahun 1999.
Cuma yang membezakan PRU-13 akan datang dengan PRU-10 pada tahun 1999, Umno dan BN hari ini sudah sedia berada di dalam keadaan yang lebih lemah berbanding mereka berhadapan PRU-10.
Tersilap langkah, percaturan dan gagal mengelak satu sahaja lagi pukulan kuat pembangkang akan menyebabkan Umno tersungkur dalam PRU-13 nanti.
Membebaskan Anwar
Membebaskan Anwar memberi ruang kepada kerajaan untuk membuktikan bahawa mahkamah negara ini bebas dari kuasa-kuasa politik dan menafikan wujudnya konspirasi di sebalik pendakwaan Anwar.
Malah lebih penting dari itu Umno masih boleh memainkan isu liwat itu dalam PRU-13 nanti apabila mahkamah memutuskan kejadian liwat itu telah berlaku dengan kerelaan Saiful Bukhari sendiri.
Kesempatan ini pastinya memberi peluang kepada media-media kawalan Umno untuk memberikan liputan besar-besaran terhadap isu liwat secara sukarela sepanjang kempen pilihan raya nanti. - Beduk Canang