Maka berlandaskan kenyataan tersebut, Musa melantik Datuk Yee Moh Chai daripada PBS sebagai Timbalan Ketua Menteri mewakili kaum Cina; meskipun PBS bukan mewakili kaum Cina dalam konsep BN.
Musa sedar bahawa lantikan Yee Moh Chai sebagai TKM dan mengekalkan Peter Pang sebagai menteri, menjadikan Parti Gerakan mendapat 2 kerusi Menteri di Kabinet Sabah, adalah tindakan yang salah dan jelas membelakangi konsep perkongsian kuasa yang telah lama diamalkan Barisan Nasional.
Tujuan Musa pun jelas diketahui, supaya LDP marah dan akan keluar BN, sepertimana tindakan Presiden SAPP Yong Teck Lee. Tetapi konspirasinya gagal apabila Presiden LDP, VK Liew memutuskan tidak bertindak.
Musa tersilap, kerana VK Liew terbaca pergerakan itu dan seterusnya mempergunakan pergerakan Musa yang silap itu untuk memerangkap Musa sendiri.
Apa yang Musa tidak dapat ramalkan adalah Gerakan langsung tidak mendapat sokongan kaum Tiong Hua kerana menurut laporan ‘Special Branch’ (SB), maka Musa tidak dapat bergantung kepada Gerakan. Musa menyesal ke atas tindakannya tapi malangnya, Perdana Menteri pula mula mempergerakkan buah caturnya terhadap Musa.
Parti LDP mempunyai satu kerusi Parlimen dan tiga DUN. Kawasan Parlimen yang dimenangi LDP adalah kawasan pembangkang; maknanya bukan kawasan selamat pada PRU-12 lalu, pun demikian LDP mampu merampas kawasan itu, melalui Presiden LDP-Datuk VK Liew.
Sokongan terhadap LDP terutama daripada kaum Cina terbukti melalui PRK Batu Sapi pada tahun lalu, sokongan kaum Cina memberikan kemenangan mutlak kepada calon PBS Datin Linda Tsen, dengan majoriti yang meningkat.
VK Liew tahu bahawa LDP mempunyai hak untuk memutuskan sama ada keluar dari BN atau terus mengekalkan statusnya di dalam BN. Beliau mempergunakan DAP yang merayu LDP keluar dari BN dan situasi ini membimbangkan atasan BN di KL. Najib sedar bahawa BN tidak boleh melepasi LDP, memandangkan kehilangan SAPP sebelum ini bukan saja kehilangan kawan, tetapi juga menambah pula musuh.
Apakah resolusi yang dapat menyelesaikan situasi tegang ini? Jawapan VK Liew kepada Najib mudah sahaja, tawar jawatan Senator kepada Chin Su Phin. Jawatan Senator yang diperoleh LDP bukan saja mencerminkan betapa penting LDP dalam hati Najib, malah ia juga seperti tamparan hebat terhadap Musa.
VK Liew sekian lama dianggap sebagai aset dalam pentadbiran Najib, berjaya merampas balik MP Sandakan dari pembangkang, walaupun beliau seorang budak Kota Belud. Sebagai seorang peramah dan profesional, VK Liew tepat dianggap sebagai ‘Winnable Candidate’ yang ditegaskan oleh Najib. Prestasi VK Liew di dalam kerajaan pusat pula mendapat kredit dari pucuk pimpinan BN. Beliau juga bertanggung jawab dalam reformasi undang-undang negara.
Jika VK Liew tidak dilantik sebagai Menteri dalam rombakan kabinet yang akan datang, kemungkinan besar VK Liew akan diberi tanggung jawab oleh Najib agar memainkan peranan yang lebih besar iaitu menguasai BN Sabah bersama Shafie Apdal-watak penting dalam pentabiran Najib di Sabah.
Perkembangan ini berasas memandangkan Timbalan VK Liew iaitu Chin Su Phin telah dijadikan Senator yang akan berada di KL, maka logiklah VK Liew mempertahankan benteng politik di Sabah dengan memegang jawatan penting di Sabah.
Selepas pergerakan silap yang dilakukan oleh Musa, pertama mempertahankan Raymond Tan dalam kabinet selepas keluar daripada SAPP dan masuk Gerakan dan kedua mempertahankan Peter Pang selepas keluar LDP dan masuk Gerakan.
Walaupun Parti Gerakan tidak bertanding dalam PRU-12 lalu, kini dengan mudah mendapat dua jawatan menteri dalam kabinet Musa.
Kesilapan ketiga Musa, apabila melantik Yee Moh Chai sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, mewakili kaum Cina.
Melihat kepada kesilapan-keslipan tersebut, pucuk pimpinan BN Pusat, melihatnya sebagai liabiliti kepada imej BN secara keseluruhan; atas sebab itu- DS Najib melantik Timbalan Presiden LDP Datuk Chin Su Phin sebagai seorang senator dan telahpun mengangkat sumpah hujung bulan lalu.
Selain itu, Najib melihat kepada tindak tanduk Musa dalam penggantian Ketua Pemuda Umno Sabah, atas sebab itu memberi lampu hijau kepada Ketua Pemuda Umno-Khairy Jamluddin untuk mendedahkan ‘Perang Dingin’ antara Musa dan Naib Presiden Umno- Datuk Mohd Safie Apdal.
Perang dingin yang berlaku ini, apa lagi diperkuat dengan pendedahan Khairy, membuatkan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Salleh Tun Said, terpaksa membuat penafian; tujuannya untuk meredakan keadaan.
Namun, penafian Datuk Salleh itu, bukan sahaja mengiakan keadaan sebenar yang berlaku dalam Umno negeri; juga membongkar kelibat Musa dalam pengurusan parti di Sabah.
Kembali kepada pertelingkahan antara LDP dan Musa, Najib melihat kehadiran LDP merupakan aset kepada BN, kerana imej Presidennya yang bersih. Imej itu, dapat membantu kerajaan Najib dalam penghapusan rasuah.
Sebenarnya, pemenang antara pertelingahan antara LDP dan Musa adalah LDP, kerana akibat tindakan ‘acah’ LDP, Musa tersalah gerak buah caturnya.
Apakah Musa akan terus menerajui BN Sabah pada PRU-13 akan datang? Hanya Najib yang mengetahuinya.
Oleh : LIM KIM HOI (sabahkini)