
"Jabatan ini ingin memaklumkan bahawa, penentuan keturunan bagi kanak-kanak adalah berdasarkan kepada keturunan ibu atau bapa kanak-kanak sahaja.
"Jabatan ini tidak dapat mendaftarkan sesuatu keturunan selain daripada keturunan ibu atau bapa kanak-kanak tersebut," kata Pegawai Perhubungan Awam Jainisah Mohd Noor dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan Malaysiakini semalam berhubung permohonan ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh dan suaminya Ramachandran Muniandy yang mahu mendaftarkan anak perempuan mereka bernama Shay Adora Ram sebagai 'Anak Malaysia'.

Susulan itu ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo melalui laman twitter menyokong tindakan pasangan tersebut dan mencadangkan perkara berkenaan dibawa ke mahkamah.
Sementara itu NGO 'Saya Anak Bangsa Malaysia' (SABM) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera mengarahkan JPN menerima pendaftaran semua kanak-kanak sebagai 'Anak Malaysia' berdasarkan tuntutan ibu bapa.
“Kami sepenuhnya menyokong ibu bapa dalam menentukan identiti anak tercinta mereka.
“Kami dengan sepenuh hati memuji Hannah dan Rama di atas keberanian dalam menegakkan pendirian mereka.

Dua tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan untuk menyemak keperluan dalam kategori 'etnik' dalam semua borang rasmi.
Dianggap tempang
“Kami hairan terhadap status semakan terhadap perkara ini. Apa yang jelas JPN belum bertindak terhadap keputusan itu.
“Dalam era teknologi maklumat, alasan JPN bahawa sistem baru belum dibentuk bagi menentukan 'identiti' baru itu boleh dianggap tempang,” kata kenyataan itu.

“Kita, sebagai rakyat, memerlukan secara sedar menolak etnik yang dicipta oleh ahli-ahli politik dan ahli birokrat yang membezakannya”. Kata SABM
“Kami menyeru semua rakyat Malaysia menyokong Hannah dan Rama dalam perjuangan mulia untuk mencabar paradigma ketinggalan zaman pentadbiran berdasarkan 'keetnikan'” mengulas kenyataan. -MK