Walau pun desas-desus sebegitu bermula dengan spekulasi atau semata-mata khabar angin, ia selalunya tidak terlalu jauh menyalahi hakikat yang benar-benar berlaku kemudiannya.
Sebab itu rakyat ada sebab sangat munasabah untuk percaya dan mengandaikan bahawa harga barangan keperluan harian mereka akan naik dan naik lagi selepas ini. Apatah lagi baru-baru ini telah berlaku kenaikan beberapa bahan utama seperti gula, petrol RON97 dan gas memasak.
Menjadi kelaziman pihak berwajib untuk memuntahkan rasional kononnya kenaikan itu tidak akan memberi kesan kepada harga barangan lain. Dibawakan berbagai hujah dan fakta bagi mengukuhkan andaian bahawa kenaikan bahan bakar dan pemanis itu pada kadar sangat minimal dan tidak sepatutnya menyebabkan berlakunya “pesta naik harga” terutama pada makanan dan minuman.
Kajian simulasi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi dijadikan bukti. Pegawai tertinggi kementerian mengatakan penyelarasan harga tiga barangan tadi menunjukkan kenaikan hanya antara 0.1 sen hingga tiga senberbanding harga semasa bagi makanan dan minuman seperti teh tarik, roti canai, karipap, mi goreng dan lain-lain seumpamanya.
“Jadi, tidak logik jika ada pengusaha makanan dan minuman menaikkan harga,” media memetik kata pegawai kementerian berkenaan.
Itu adalah antara hujah biasa yang diberikan, bertujuan meyakinkan rakyat. Namun, apakah keadaan yang benar-benar berlaku menepati apa yang ditegaskan kerajaan itu?
Berdasarkan laporan media dan pemerhatian dalam masyarakat, tidak sukar kita akui bahawa kenaikan harga barang, terutama makanan dan minuman tetap berlaku. Janji dan keyakinan yang cuba dipertahankan kerajaan setakat ini hanya ibarat janji kosong yang tidak dapat dikuatkuasakan.
Di manakah silapnya sehingga “pesta naik harga” yang sepatutnya tidak berlaku itu tetap berlangsung? Dan para pengusaha makanan dan minuman seakan tidak ada sekelumit kegusaran berdepan undang-undang dan peraturan kerajaan?
Akuilah bahawa punca utama ialah kerana tahap penguatkuasaan sesuatu ketetapan oleh kerajaan amat lemah. Para menteri, timbalan menteri dan pegawai kementerian bertanggungjawab mengawal dan memantau perkara ini seolah-olah hanya tahu menutur dan melontarkan keyakinan di peringkat masing-masing. Tetapi apabila tiba di tahap menguatkuasakannya, ia selalunya menemui kegagalan.
Akhirnya, mahu tidak mahu akan menyusul kenyataan dalam nada ‘berlembut’ dari pihak kerajaan untuk merasionalkan tuntutan pengusaha menaikkan harga. Kononnya ia tidak dapat dielakkan.
Itulah skrip dan lakonlayar yang sering berulang. Bermula dengan ura-ura kenaikan harga bahan keperluan utama, diikuti pengumuman oleh kerajaan mengesahkan perkara itu. Kemudian ada hujah-hujah merasional kenaikannya beserta jaminan ia tidak akan memberi kesan kepada harga barangan lain.
Bahkan ia disifatkan kenaikan amat minimal dan tidak membebankan pengguna terbanyak. Namun, akhirnya kenaikan harga barangan lain tidak dapat dielakkan juga.
Sebab itu apabila harga gula dan petrol sekali lagi dinaikkan bulan lalu, diikuti kenaikan tarif elektrik minggu lalu, rakyat ada sebab sangat munasabah untuk mengandaikan harga berbagai barangan lain juga bakal naik dalam masa terdekat.
Berdasarkan pengalaman lalu, hujah berbagai pihak mewajarkan tindakan kerajaan itu sepatutnya sudah tidak dilayan. Apa-apa alasan mendakwa ia tidak memberi kesan kepada pengguna berpendatan rendah sebenarnya merendahkan martabat pemikiran rakyat.
Secara logik pun semua orang dapat mencongak bahawa setiap kenaikan harga barangan asas akan tetap memberi kesan kepada produk dihasilkan menggunakan barangan tersebut. Memang bagi pengguna biasa, kenaikan harga gula dan petrol pada nilai minimal. Tetapi bagi pengusaha dan pengilang yang menggunakannya dalam kadar pukal, kenaikan itu amat dirasakan.
Kos pengeluaran barangan oleh pengusaha dan pengilang akan meningkat. Sudah menjadi tabiat bahawa tidak semua mereka bersedia menyerap kenaikan kos operasi itu. Kebanyakan mereka hanya tahu mengaut untung. Jauh sekali untuk memikirkan soal kebajikan pengguna. Maka besar kemungkinan mereka akan memindahkan beban kenaikan kos itu kepada rakyat selaku pengguna.
Logik sama kini menghantui rakyat selepas kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik. Biar pun seperti biasa kerajaan mengiringi pengumuman itu dengan jaminan tidak membebankan rakyat, terutama khalayak berpendapatan rendah, kesan tidak langsung dari kitaran penggunaan tenaga oleh pengusaha dan pengilang adalah hakikat yang sudah dijangkakan rakyat.
Justeru, biar pun kerajaan mahu rakyat percaya bahawa tarif baru elektrik kini tidak akan membebankan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang, kesan kenaikan harga barangan lain tetap tidak dapat dielakkan.
Apabila para pengusaha makanan dan minuman di dalam masyarakat menerima barangan asas perniagaan mereka pada harga lebih tinggi, maka rakyat sebagai pengguna pula perlu bersedia untuk sekali lagi berdepan “pesta naik harga”.
Oleh: Mat Zain Mat Isa (detikdaily)