Ketua Menteri sangkal kenyataan Dr Koh
Guan Eng berkata, ia sebenarnya bukan hasil daripada pentadbiran BN atau Pakatan Rakyat (PR) sebaliknya usaha rakyat yang memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri yang baru.
Menurutnya, perkara itu jelas terbukti dengan rekod penyata perbelanjaan mengurus negeri dari 1995 hingga 2011.
“Dr Koh menyatakan bahawa mereka pun (Kerajaan BN) pernah menerima pujian daripada Ketua Audit Negara pada 2008. Mungkin perkara itu betul tetapi saya tidak tahu. Namun apa yang mahu saya kongsikan adalah mengenai prestasi pengurusan wang terbaik adalah pada 2009 selepas Pulau Pinang diambil alih oleh PR.
“Bekas Ketua Menteri (Dr Koh) menyebut pengurusan kewangan terbaik adalah pada 2007 namun bila kita bezakan dengan 2008 dan 2009, ia jelas lebih baik daripada apa yang dikatakan oleh beliau,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bawah pemerintahan BN pada 2007 berjaya memperoleh lebihan bajet RM43 juta tetapi selepas Pulau Pinang diambil alih PR, lebihan bajet adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Ini kerana pada 2008 Kerajaan Negeri berjaya memperoleh lebihan RM88 juta dan pada 2009 mendapat lebih RM77 juta walaupun pada ketika itu dunia menghadapi krisis ekonomi.
“Sungguhpun menghadapi kekangan krisis ekonomi tetapi pendapatan kita bertambah kerana ada keyakinan rakyat kepada Kerajaan Negeri yang baru.
“Saya rasa, kita harus ucapkan terima kasih kepada rakyat yang percaya dan mahu bekerjasama dengan Kerajaan Negeri baru. Bukan kepada BN kerana PR sendiri tidak mahu mengambil kesempatan atas kejayaan ini,” katanya.SH