Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, July 3, 2013

Najib terpaksa menganugerahkan, membayar dan memberi politikus-politikus tertentu jawatan?

Abdul Azeez Abdul RahimPR bantah lantikan Pengerusi TH
KUALA LUMPUR - Pelantikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) semalam mendapat tentangan daripada Ahli Parlimen dari PR kerana mendakwanya sebagai bersifat berat sebelah dan mempunyai kepentingan politik BN.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meneliti semula pelantikan itu supaya ia mengikut garis panduan tertentu berdasarkan keupayaan, kredibiliti dan tidak partisan yang menyebelahi Umno-BN.

"Janganlah dipolitikkan segala-galanya di negara ini dan saya nampak Perdana Menteri terpaksa menganugerahkan, membayar dan memberi politikus-politikus tertentu jawatan, saya masih merasakan ia melampaui batasan.

"Tabung Haji merupakan satu institusi yang harus kita pegang dan melantik sesiapa yang terbaik, mempunyai kepakaran untuk memastikan pegangan dan khazanah umat Islam tidak terjejas," katanya kepada Sinar Harian Online di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pelantikan Abdul Azeez sebagai pengerusi agensi kerajaan itu yang berkuatkuasa semalam.

Abdul Azeez yang juga anggota Lembaga Pengarah TH sejak 2011 dilantik menggantikan penyandangnya, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor yang berkhidmat dengan TH sejak Ogos 2007.

Turut bersetuju, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang turut mendesak Najib menimbang semula tindakan itu.

Dakwanya, pelantikan jawatan tertinggi agensi kerajaan perlu melalui proses saringan yang ketat bagi mengelakkan daripada dana awam itu diselewengkan.

"Sepatutnya, untuk melantik seorang sama ada jawatan pengerusi, lembaga pengarah, CEO dan panel pelaburan TH, saya fikir sepatutnya kita perlu lakukan tapisan yang telus dalam pelantikan itu," dakwanya.

Naib Presiden Pas itu juga menggesa kerajaan meletakkan kriteria tertentu dalam pelantikan pengerusi agensi kerajaan itu dan tidak terhad kepada ahli politik semata-mata.

"Pengisian jawatan itu bukan untuk membantu ahli politik yang tidak mendapat jawatan di atas (menteri) untuk menampung pendapatan dan sebagainya.

"Bukan tidak wajar dilantik di kalangan ahli politik malahan sesiapa saja yang layak tapi perlu ada kriteria tertentu dan diadakan temuduga.

"Sesiapa pun boleh menyeleweng bukan orang politik saja," dakwanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, lantikan Abdul Azeez disambut baik Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sambil menyifatkan pilihan Perdana Menteri itu tepat dan memenuhi kriteria yang diperlukan dalam agensi yang turut menguruskan pelaburan Islam itu.

"Datuk Azeez telah mengganggotai jemaah lembaga tabung haji buat beberapa tahun dan sudah pasti beliau mempunyai pengalaman tertentu selepas berkhidmat dalam lembaga itu.

"Beliau juga mempunyai latar belakang sebagai ahli perniagaan, seperti mana yang kita ketahui Lembaga Tabung Haji bukan hanya menguruskan bukan sahaja soal jemaah, tetapi lebih juga kepada aspek pelaburan dan perniagaan," jelasnya.

Tambah beliau, pemilihan Abdul Azeez itu tidak wajar dipertikaikan kerana ia adalah hak Perdana Menteri.

Malah jelasnya, wakil rakyatlah yang sepatutnya mewakili dan menerajui agensi kerajaan bersesuaian dengan tanggungjawab sebagai anggota Parlimen yang dipilih rakyat.

"Seharusnya ahli politik yang bertanggungjawab. Menteri-menteri memegang portfolio tertentu dan tugasan dalam agensi yang berkait di bawah menteri, beliau boleh melantik ahli politik lain untuk mengendalikan agensi tersebut.

"Adalah salah bagi saya sekiranya tanggungjawab yang dipikul oleh ahli politik mereka dipertanggungjawabkan di Parlimen diserahkan kepada orang lain.

"Saya fikir adalah satu tanggapan yang silap, kalau kita memandang sepi kepada pelantikan ahli-ahli Parlimen," tegasnya. SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular