Pendamaian kebangsaan atau "national reconciliation" yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya retorik dan tidak diperlukan, kata Datuk Ibrahim Ali .
"Tidak perlu bincangkan Pendamaian Kebangsaan dengan saya, ia hanya satu perkara retorik.
"Sesiapa yang menang mestilah dihormati dan saya ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional yang kekal sebagai pemerintah," kata Presiden Perkasa itu.
Pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini, Ibrahim turut menggesa pihak yang kalah dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) supaya menerima keputusan itu.
Najib didakwa mahu memulakan pendamaian kebangsaan dan mendakwa ia sebagai usaha menyatukan rakyat Malaysia berikutan keputusan PRU13 sebagai 'tsunami Cina'.
Ibrahim yang turut gagal mempertahan kerusi Parlimen Pasir Mas - kali ini atas tiket BN, menggesa pihak yang kalah pada PRU13 supaya menerima keputusan itu.
Beliau meminta mereka menunggu lima tahun lagi pada PRU14, bukannya mempertikaikan keputusan tersebut.
"Yang kalah perlu terima dan tunggu lima tahun lagi. Mereka yang bercakap banyak adalah paling tidak bermoral dan korup," katanya.
Ibrahim juga tidak bersetuju sekiranya menyalahkan masyarakat Cina semata-mata pada pilihan raya lalu ekoran majoriti lebih kecil yang diperoleh BN, sebaliknya beliau berkata masyarakat yang berpengetahuan serta lebih bijak sebagai faktor utama penentu dalam keputusan pilihan raya 5 Mei lalu.
Menurut Ibrahim, masyarakat sekarang tidak lagi terpikat dengan janji wang ringgit mahu pemberian kebendaan sebaliknya mengganggap ia sebagai tanggungjawab kerajaan untuk memberikannya kepada mereka.
"Kita sekarang bergerak ke arah masyarakat berpengetahuan... jangan hina rakyat, mereka lebih berpendidikan dan berpengetahuan.
"Bukan macam dahulu lagi, rakyat sekarang berpandangan segala yang diberikan kerajaan adalah wang mereka, hak mereka dan itu adalah kewajipan kerajaan," kata Ibrahim apabila ditanya tentang pandangannya tentang peralihan sokongan masyarakat Cina yang lebih memihak kepada pembangkang Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya lalu.
Ibrahim menyifatkan pada PRU14 nanti, pengundi yang berpengetahuan akan melihat isu-isu seperti sikap dan tingkahlaku calon yang mereka akan undi, ketelusan sesebuah parti politik dan parti mana yang mampu memberi jaminan lebih baik kepada mereka sebagai penentu kemenangan dalam pilihan raya lima tahun lagi.
"Selepas ini, pengundi akan melihat parti yang dapat buktikan seluruh pasukannya baik akhlak, berkemampuan dan bersih.
"Parti inilah yang akan menang dalam pilihan raya depan nanti," katanya lagi.
Najib semasa sidang Parlimen yang dibuka baru-baru ini berkata Pendamaian kebangsaan hanya akan dilaksanakan sekiranya PR menerima keputusan PRU13.
Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Najib dan BN kembali berkuasa di Putrajaya dalam satu persaingan sengit yang menyaksikan PR memenangi undi popular tetapi masih tewas dalam pilihan raya.
PR memperoleh undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN yang hanya mendapat 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.
Selain itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempertahankan tindakannya membantah keputusan pilihan raya 5 Mei lalu dengan menuduh BN memenangi hasil daripada penipuan dan salahguna kuasa serta mendakwa proses pilihan raya dijalankan secara tidak adil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi pada Pilihan Raya 2008 lalu.
Pembangkang PR selepas pilihan raya telah mengadakan bantahan terhadap keputusan pilihan raya 5 Mei lalu dalam siri dan perhimpunan Black505 ke seluruh negara termasuk di Selangor, Johor, Pahang, Perak, Melaka dan Terengganu, serta mendakwa pemerintah BN memenangi pilihan raya dengan penipuan. - The Malaysian Insider