Ong Tee Keat sudah mengakui keyakinan dan sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Najis semakin hari semakin tenat, hingga memaksanya berdiam diri tidak tahu apa lagi yang mesti dilakukan untuk memulihkannya.
Biarpun menyedari kerusinya sendiri di Parlimen Pandan juga goyang, kesediaannya untuk berkongsi rasa dengan masyarakat diluahkannya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian baru-baru ini.
Ikuti cerita seterusnya. JALAN PULANG
Karier politik bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dilihat merudum apabila gagal mengekalkan jawatan sebagai Presiden MCA pada pemilihan Mac 2010. Namun menjelang Pilihanraya Umum ke-13, namanya kembali menjadi sebutan selepas dikaitkan dengan pemimpin kanan pembangkang. Kemunculannya sebagai Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) semakin menguatkan desas desus akan meninggalkan MCA.
Pertemuan bersama Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali, Editor kanan, Lailatun Khalilah Nasir, dan wartawan Robiatuladawiyah Abd Rashad serta jurufoto Rosli Talib, membongkar isi hati Ahli Parlimen ini yang terkenal dengan keberaniannya mengkritik parti.
Jatuh bangun dalam politik itu lumrah, namun sebagai seorang yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam parti, bagaimana Datuk Seri melihat MCA sekarang kerana sokongan kaum Cina dilihat sudah beralih arah kepada parti pembangkang?
TEE KEAT: Soalan ini agak sensitif pada masa sekarang apabila ia menyentuh sokongan kaum Cina khususnya kepada pucuk pimpinan MCA.
Pada hemat saya, apa yang mustahak kepada sesebuah parti itu adalah kebolehan entiti parti mengerahkan tenaga dan jentera di peringkat akar umbi. Kedua, berkebolehan untuk mendapat keyakinan khasnya masyarakat yang diperjuangkan hak mereka. Ketiga; sama ada sesebuah parti itu berpandukan nilai perjuangan atau didorongi kepentingan semasa khasnya kepentingan diri.
Dalam hubungan ini, saya nampak MCA , bukan sahaja perlu mengalami satu proses transformasi, yang bukan sahaja terhad kepada strukturnya tetapi pada masa sama memerlukan transformasi hala tuju parti itu sendiri.
Saya tidak kata perjuangan nenek moyang kita tidak relevan lagi, tetapi kita telah masuk ke era serba baru, kita tidak lagi boleh terbelenggu dalam minda yang lama. Adalah perlu untuk kita lebih cenderung memperjuangan isu-isu mikro yang merentasi kaum.
Bercakap soal transformasi, adakah Datuk Seri cuba membuat transformasi dalam MCA?
TEE KEAT: Saya perlu mengakui saya pernah berusaha untuk menjurus ke arah mentransformasikan MCA, tetapi tidak berjaya dan sedia maklum saya terkandas dalam usaha itu. Apa yang saya maksudkan itu mencakupi dalam struktur kepimpinan parti.
Bila saya menyandang jawatan Presiden MCA saya beritizam merompak sistem pemilihan parti iaitu direct election yang mana jawatan tertinggi parti dipilih oleh semua ahli bukanlah dipilih perwakilan sahaja. Itu adalah usaha pembaharuan yang saya cuba bawakan, tetapi malangnya walaupun diterima dalam majlis perhimpuan Agung ia tidak dapat dilaksanakan kerana ada rintangan dalaman. Keadaan ini juga menjadi faktor penyumbang kepada ‘penumbangan saya’, tapi itu sudah berlaku.
Saya lebih suka menyentuh soal nilai perjuangan. Orang selalu bercakap soal perjuangan, tetapi perjuangan itu berpandu kepada apa? Apa nilai perjuangan yang dibawa? Misi dan visi bukan hanya kata-kata manis tetapi perlu dijadikan panduan yang dapat dilaksanakan. Kalau berpolitik atau menceburi perjuangan untuk mendapatkan habuan peribadi, perkara itu sudah pasti akan menghancur-leburkan parti.
Selepas pemilihan parti yang lalu, Datuk Seri seringkali mengeluarkan kenyataan yang tidak seiring dengan pucuk pimpinan dan terbaru menyertai Amanah. Apakah beza Datuk Seri bersuara menerusi parti dan NGO (Amanah)?
TEE KEAT: Perkara ini perlu dilihat dalam dua sudut, iaitu dari segi penyertaan orang politik dengan NGO dan saya sebagai ahli biasa di dalam MCA tanpa sebarang jawatan yang masih belum pasti berpeluang atau tidak untuk bersuara di dalam parti.
Kalau mengikut persepsi umum wadah parti dan NGO tidak semestinya bercanggah. Kebanyakan orang politik ini ada pelbagai topi. Walaupun aktif dalam parti, mereka juga menyandang jawatan tertinggi di dalam NGO tertentu. Pada saya jika wadah perjuangan itu tidak bercanggah dengan kepentingan parti, perkara itu tidak sepatutnya menjadi pantang larang.
Saya akui, selepas saya tumbang, saya terpaksa merombak semula, hala tuju dan penekanan saya. Kini saya lebih kepada kerja di kawasan Parlimen Pandan dan kerja amal dalam NGO.
Biasanya untuk orang-orang yang bukan Melayu, NGO itu pelbagai, ada yang berteraskan kebaikan, ada yang berteraskan kepentingan suku kaum atau keturunan, perkara itu pelbagai. Tetapi di dalam MCA, Winner Takes All (pemenang membolot segala) itu memang sahih.
Penglibatan Datuk Seri di dalam Amanah yang dipelopori oleh kebanyakan veteran politik yang sudah tidak berada di dalam mainstream dilihat sebagai orang yang kecewa dengan parti. Apa komen Datuk Seri?
TEE KEAT: Amanah sebenarnya sebuah NGO baru, ia bukan sahaja dianggotai oleh veteran politik. Memang ada bekas-bekas pemimpin parti khasnya parti kompenan Barisan Nasional (BN) tetapi Amanah turut disertai orang buat BN dan pesara-pesara pegawai kanan kerajaan. Cuma perkara itu orang tidak pandang.
Saya sebagai orang politik yang masih berkhidmat menyertai NGO tentu ada sebabnya. Tetapi kecewa dengan parti atau mahu mencari wadah baru bukanlah penyebabnya. Apa yang digariskan Amanah dan prinsip utamanya berteraskan kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang mengutamakan semangat dalam penyatuan kaum menarik minat untuk saya menyertainya selain menolak rasuah dalam politik.
Walaupun ada yang menjangkakan Amanah akan ditransformasikan menjadi parti politik. Namun saya berpendapat hal itu masih terlalu awal kerana banyak proses yang perlu dilalui.
Tarikh sebenar pilihan raya masih lagi menjadi tanda tanya, namun ramai yang menjangkakan ia tidak lama lagi. Melihat kepada PRU 12 dilihat sokongan kaum Cina sudah beralih arah kepada DAP, dalam kemelut yang dihadapi oleh Gerakan. Jadi apakah harapan untuk meraih undi Cina kembali kepada BN pada PRU13?
TEE KEAT: Kalau kita menyingkap semula sejarah, iaitu sejarah PRU lalu pada 2004, 1999, dan 1995. Dalam tiga PRU itu sebenarnya masyarakat cina memberikan sokongan yang meyakinkan kepada BN sehingga banyak kubu pembangkang telah tumpas, itu membuktikan pada ketika itu kaum Cina menaruh kepercayaan melalui MCA.
Sokongan kaum Cina terhadap BN nampak begitu tenat hari ini. Apa yang berlaku pada tsunami politik yang 2008 bukan sesuatu petanda baru tetapi sudah ada tanda-tanda awal. Semua parti kompenan perlu terus terang apa yang tidak kena dalam hal ini, jika dibiarkan ianya berlarutan akan jadi satu bencana kepada BN pada PRU-13.
Tidak lain daripada desakan masyarakat Cina khasnya terhadap parti kompenan dalam kerajaan untuk merombak corak perjuangan mereka bukannya semata-mata bersifat reaktif dan terus terbelenggu dengan isu-isu yang lama. Isu yang belum selesai memang perlu diteruskan. Tetapi perkara yang mendesak adalah seperti keselamatan, seperti rintihan hidup, kerana desakan hidup yang makin mencabar di peringkat akar umbi perlu ditanganani. Hal ini tidak perlu kenal benteng perkauman pun.
Pada keseluruhannya kaum Tionghoa memang beriltizam untuk menuntut keadilan atas beberapa keadilan misalnya dari segi peluang ekonomi.
Saya faham, memang ramai pihak cakap kaum Cina sudah dapat sekian banyak peratusan daripada hasil ekonomi negara, tetapi perlu diingat bahawa peratusan yang dimaksudkan itu sebenarnya tertumpu kepada golongan yang tertentu khasnya mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak tertentu. Bukannya peniaga kecil. Kalaulah kita cuma menganalisakan soal peratusan sahaja agak tercicir kerana apa yang rakyat mahu adalah peluang.
Kalau menyentuh pasal ekonomi peniaga cina, khasnnya industri kecil dan sederhana, mereka tidak banyak mempunyai peluang pinjaman atau kredit. Mereka rasa ruang itu tidak ada dan yang terpinga-pinga mencari jalan keluar. Tetapi apa yang dimahukan itu bukanlah sesuatu yang keterlaluan dan tidak melanggari Perlembagaan negara.
Sebagai wakil rakyat saya suka untuk dengar rintihan mereka, dan perkara itu kerap kali didengari ketika saya turun padang. Jadi penyelesaian dari segi itulah yang mereka mahukan.
Dalam meraih sokongan kaum Cina dalam BN, kenapa tidak MCA bergabung sahaja dengan Gerakan memandangkan prestasi Gerakan begitu merudum sehinggakan Presidennya Tan Sri Koh Tsu Koon mengumumkan penarikan dirinya dalam PRU13. Tidakkah Datuk Seri melihat penggabungkan itu nanti mampu memberi impak positif untuk menarik kembali sokongan kaum Cina?
TEE KEAT: Perkara pokok sekarang ini bukan soal individu, bukan soal Tan Sri Koh Tsu Koon bertanding atau tidak, hal sekarang ini lebih rumit sebab yang mustahak sekali pengundi Cina khasnya generasi muda walaupun ada sebahagian yang telah berumur terikut-terikut dengan rentak semasa.
Kalau mereka mengharapkan sesuatu yang serba baru atau sesuatu yang disifatkan sebagai perubahan transformasi supaya dapat membawa nafas baru dan harapan negara, itu sesuatu yang jauh berbeza dengan pilihan individu sama ada bertanding atau tidak.
Transformasi dan perubahan itu telah saya nyatakan secara lantang dalam beberapa forum yang lepas. Saya pernah cakap perubahan itu perlukan berlaku pada semua pihak kerana ini trend semasa. Tetapi pada masa yang sama kenalah kita bezakan dan beri pengertian yang betul apakah maksud transformasi sebenar.
Perubahan dari segi tampok pemerintahan ataupun perubahan takuk minda. Perubahan takuk minda tidak semestinya perlu tukar orang, tetapi tukar otak itu yang mustahak perlu tukarlah mekanisme yang ada. Saya tidak percaya istilah perubahan itu sekadar perubahan dari segi tampok pemerintahan sahaja tanpa merombak takuk minda tidak ke mana.
Soal bergabung, perkara ini telah lama kita debatkan sejak dahulu lagi dan sehingga sekarang masih ada orang tertanya-tanya kenapa tidak kita bergabung. Kita kena berbalik kepada asas, khasnya perbezaan sturktur kedua-dua buah parti itu. Gerakan yang ditubuhkan pada tahun 60-an, yang mana awalnya dianggotai oleh semua kaum, dan barisan pemimpin awalnya juga terdiri daripada pelbagai kaum tetapi parti MCA sedia maklum adalah parti kaum Cina.