Penganalisis politik berpendapat, untuk memegang jawatan sebagai Menteri Besar (MB), bukan sahaja parti harus mendapat majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (Dun), malah perlu dapat perkenan Sultan.
Pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, Perlembagaan negeri-negeri Semenanjung Malaysia menetapkan, syarat memegang jawatan MB perlu anak kelahiran negeri.
Mengulas calon MB yang dilantik Pas, sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan selatan Semenanjung pada pilihan raya akan datang, beliau berkata, Salahuddin adalah calon sesuai memandangkan PKR dan DAP tidak memenuhi kriteria Perlembagaan negeri berkenaan.
“Kita lihat, DAP tiada calon Melayu (Pengerusi DAP, Dr Bong Cheng Hau) dan PKR pula dipengerusikan Datuk Chua Jui Ming. Hanya Pas sahaja diterajui Datuk Dr Mahfodz Mohamed, namun mereka mengintai orang yang lebih muda dan berpengalaman untuk jawatan itu.
“Apa pun keputusan, kuasa sebenar di tangan sultan yang akan memilih calon yang menang. Sekiranya baginda perkenan Naib Presiden Pas mengetuai Johor andai kata PR berjaya runtuhkan monopoli BN, itu adalah 100 peratus jaminan boleh diberikan kepada tokoh berkenaan,” katanya.
Ditanya mengenai kemampuan PR untuk menembusi kubu kuat BN, menurut Shaharuddin, perkara itu tidak mustahil.
Katanya, ia boleh direalisasikan sekiranya undi Cina memihak kepada PR dan turut menyokong calon Pas.
Menurutnya, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu tokoh paling layak kerana beliau bersifat nasional mudah dibawa berbincang.
“Saya mengesyorkan Pas meletak Salahuddin bertanding Dun campuran terutama Muar dan Batu Pahat. Saya percaya, kawasan majoriti Cina dan India, sudah tentu ditandingi PKR dan DAP, jadi Pas perlu lawan dengan Umno,” katanya.
Shaharuddin berkata, formula melantik calon Pas untuk Menteri Besar Johor tepat memandangkan PKR akan menguasai Putrajaya dan kemungkinan di Negeri Sembilan serta Melaka, Menteri Besar dan Ketua Menterinya kemungkinan bukan dari Pas