KANGAR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mencabar pemimpin parti itu menunjukkan bukti kononnya beliau 'gila meroyan' untuk menjadi Menteri Besar (MB) termasuk rakaman video percakapan jika ada.
Beliau membuat cabaran itu bagi membersihkan namanya yang teruk terjejas setelah Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendakwanya bercita-cita menjadi MB Selangor melalui pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno sejurus Pakatan Rakyat (PR) memenangi lima negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.
Menurutnya, isu mengejar pangkat dan jawatan tidak timbul dalam perjuangan politiknya, sebaliknya usaha menyatupadukan umat Islam di negara ini yang menjadi teras utama.
"Saya tuntut pemimpin berkenaan tunjukkan bukti rakaman video dan sebagainya yang boleh menyokong dakwaan kononnya saya gila talak, meroyan hendak jadi MB Selangor selama ini.
"Saya sanggup lepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri dan menjadi Adun Bebas kerana tidak sanggup bersekongkol dengan parasit Pas yang mempunyai agenda peribadi berbanding perjuangan menegakkan syiar Islam," katanya sewaktu menyampaikan Ceramah Perdana Selamatkan Akidah di Dataran Dato' Sheikh Ahmad, malam kelmarin.
Turut hadir bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin.
Hasan berkata, beliau turut terkilan apabila ada ulama Pas yang menuduhnya sombong dan ego sehingga sanggup tidak membuka pintu rumah dan enggan melayan tetamu.
Menurutnya, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kesemua pemimpin dan ulama Pas berkenaan akan dituntutnya di akhirat kelak.
"Sejurus difitnah seorang ulama Pas menuduh saya tidak buka pintu untuk tetamu, isteri saya terus berasa marah dan sedih kerana senario sebenar menunjukkan keadaan sebaliknya.
"Selama ini, saya menghormati ulama dan tidak pernah menghentam mereka walaupun saya dipecat daripada parti. Hari ini, baru saya sedar wajah sebenar segelintir pemimpin Pas yang layak digelar parasit kerana menggunakan parti untuk kepentingan diri," katanya.
Sehubungan itu, Hasan menggesa rakyat Perlis memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja (IMR) yang didukung Jati dan berharap lebih 100,000 rakyat negeri itu menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang bakal dilancarkan pada 21 Februari ini.
"Kehadiran 5,000 hadirin hari ini yang majoritinya terdiri golongan anak muda adalah bukti jelas Jati mempunyai objektif penubuhan kukuh untuk memperjuangkan syiar Islam dan menyelamatkan akidah umat yang jauh terpesong.
"Kehadiran yang ramai membuktikan usaha pihak tertentu mensabotaj ceramah saya dengan mengoyakkan poster, kain rentang serta menyebarkan 'pembatalan' ceramah menerusi blog tidak berkesan. Ia tidak mampu menghalang niat murni ini semata-mata kerana Allah," katanya. - Sinar Harian
* Orang gila tak akan mengaku dia gila tetapi orang yang disekelilingnya mengesahkan kegilaannya...
Sumber