SHAH ALAM, 16 NOV : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan tindakan beberapa syarikat konsesi air seperti Syabas yang menjalankan operasi perniagaan mereka secara berhutang dan bukannya berdasarkan kemampuan kewangan syarikat terbabit.
Kesan dari itu mengakibatkan Syabas terpaksa menaikkan tarif air bagi membayar pelbagai tunggakan kepada pihak yang memberi hutang.
Menurut Khalid, selepas Syabas mendapat kontrak bagi konsesi perbekalan air, syarikat tersebut menjadikan perjanjian kontrak tersebut sebagai cagaran untuk mendapatkan hutang dari pasaran-pasaran kewangan.
"Syabas telah berhutang sebanyak RM3 bilion dari syarikat-syarikat kewangan sejurus selepas memperoleh perjanjian konsasi tersebut.
"Ini menunjukkan asas perniagaan Syabas adalah dari sumber hutang bukannya dari kemampuan kewangan syabas sendiri." kata beliau ketika menjawab soalan Adun Lembah Jaya, Abdul Khasim Abdul Aziz.
Beliau yang juga Adun Ijok berkata akibat dari bebanan hutang yang tinggi, bebanan tersebut terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan cara Syabas menaikkan tarif air.
"Apabila hutang tidak dapat dibayar Syabas telah meminta dari kerajaan persekutuan.
"Disebabkan nak bantu syarikat kroni kerajaan pusat telah menggunakan wang rakyat dengan memberi pinjaman sebanyak RM300 juta tanpa faedah selama tujuh hingga lapan tahun." jelas Khalid.
Menurut Khalid lagi akibat dari ketidakcekapan Syabas serta beberapa syarikat konsasi air di Selangor ini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menggunakan dana yang tinggi untuk mengambil alih industri air dinegeri ini.
"Selangor perlu menggunakan hampir RM10 bilion untuk mengambil alih air Selangor kerana kos tersebut turut melibatkan hutang-hutang syarikat konsasi tersebut dengan pasaran-pasaran kewangan.
"Walaupun bayarannya agak besar tetapi industri air ini perlu diselamatkan bagi menjamin tidak berlaku penguasaan yang sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggung jawab yang akhirnya dibebankan kepada rakyat." ujar beliau lagi.