Grab the widget  IWeb Gator

Monday, August 8, 2011

Seorang terkorban tanah runtuh di Cameron Highlands

Berita 1

[BH] CAMERON HIGHLANDS: Lima rumah di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Tanah Rata di sini, ditimbus tanah runtuh dalam kejadian jam 5.45 petang tadi.


Sumber polis mengesahkan setakat ini satu mayat ditemui manakala dua lagi cedera dan kini dirawat di Hospital Hajah Kalsom, Tanah Rata.



Dipercayai lebih ramai mangsa terperangkap berikutan tiga daripada lima rumah berkenaan ditimbus sepenuhnya dan nasib penghuninya belum diketahui.


Pasukan penyelamat kini bertungkus lumus mencari mangsa.

Berita 2


Seorang wanita terkorban manakala dua lelaki cedera parah dalam satu kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang, lewat petang tadi.


Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands berkata kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang tersebut melibatkan lima buah rumah penduduk kampung.


"Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.


Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.


Usaha mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh itu, jika berlanjutan, nampaknya perlu diteruskan dalam keadaan hujan dan ribut petir yang diramal di Cameron Highlands tengah hari esok.


Menurut ramalan kaji cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia di laman sesawangnya hari ini, tiada hujan pada sebelah pagi bagaimanapun, hujan dan ribut petir dijangka melanda tengah hari esok.


Hujan turut diramal pada sebelah malam, dengan suhu antara 17 dan 24 darjah celsius sepanjang hari.


Purata taburan hujan di kawasan Cameron Highlands dalam tempoh antara 8 pagi semalam dan 8 pagi ini berada pada tahap 10mm.


Jurucakap jabatan itu ketika dihubungi Bernama malam ini berkata bahawa purata taburan hujan antara 50mm dan 70mm dalam tempoh 24 jam merupakan tahap amaran hujan lebat.


Sehingga kini seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang perempuan cedera parah dalam kejadian tanah runtuh itu yang punca kejadian belum diketahui.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular