Grab the widget  IWeb Gator

Monday, August 8, 2011

keris bersarung jauh lebih berbahaya daripada keris terhunus!

Mudahnya status warganegara dilacurkan..
Menjadi warga kepada sebuah negara berdaulat dan amat istimewa seperti Malaysia sememangnya adalah suatu anugerah yang tidak ternilai. Ia tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit, atau dengan satu pangkah undi mahupun dengan maruah peribadi. Hasrat menjadi warganegara Malaysia menuntut pengorbanan yang sangat tinggi.



Malaysia yang kita diami ini tercetus hasil perjuangan pejuang dan pahlawan silam yang hebat-hebat belaka. Jika kita berkorban harta, mereka berkorban nyawa. Kemerdekaan yang diperjuangkan bukan baru 54 tahun lalu, tetapi telah berterusan zaman berzaman ratusan tahun lamanya. Memang diakui sudah hampir pupus bangsa Melayu yang asli, memang payah dibezakan antara warganegara yang dijemput masuk dengan warganegara yang lahir di bumi bertuah ini. Namun semuanya itu sudah tidak penting lagi dalam konteks negara bangsa Malaysia pada hari ini. Bangsa Malaysia moden menuntut taat setia yang tidak berbelah bahagi daripada setiap warganegaranya tidak kira dari rumpun mana sekalipun.


Rakyat Malaysia umumnya risau dengan perkembangan mutakhir yang telah melihat betapa mudahnya status warganegara Malaysia ini dijualbeli, dilacur dan dirasuahkan. Atas nama keselamatan yang sebenarnya masih samar dan kelihatan seperti sengaja diperbesar-besarkan, rakyat yang prihatin sudah tentulah bimbang dengan natijah yang bakal menimpa sekiranya isu kewarganeraan ini diambil mudah.


Saya sendiri agak kurang yakin dengan tindakan memutihkan pendatang tanpa izin yang sudah berada di Malaysia ini. Saya bimbang sekiranya ada usaha-usaha terancang untuk menganugerahkan taraf warganegara segera kepada sebahagian daripada mereka dengan tujuan dan matlamat yang songsang dan dajal.


Saya ingin bertanya, “apakah nilai kewarganegaraan Malaysia?”. Jika anda seorang warganegara tulen ataupun seorang yang benar-benar ikhlas untuk menjadi rakyat Malaysia, maka soalan-soalan berikut sepatutnya mudah untuk anda jawab:


1. Jika anda layak mengundi, apakah yang akan mempengaruhi undi anda?
2. Sekiranya Malaysia berhadapan situasi tegang, ke manakah haluan anda?
3. Di samping meningkatkan taraf hidup anda, adakah anda akan turut sama membantu meningkatkan tahap ekonomi setempat dan negara Malaysia?
4. Adakah anda hanya akan bergaul bersama rakyat tempatan? Atau anda akan mencipta komuniti baru di kalangan kaum dan bangsa anda sahaja?
5. Adakah bahasa Malaysia akan dipelajari dan digunakan sepenuhnya?
6. Adakah anda faham sejarah pembentukan Negara Malaysia?
7. Adakah anda faham dan menghormati pula hubungan antara kaum serta hak-hak mereka?
8. Adakah anak-anak serta ahli keluarga anda akan dididik dengan nilai keMalaysiaan atau sebaliknya?
9. Adakah anda sanggup bergadai nyawa mempertahankan Malaysia?
10. Fahamkah anda akan peranan institusi beraja di Negara ini? Adakah anda akan bersumpah taat setia dengaannya?
11. Adakah anda faham kedudukan agama Islam di negara ini?
12. Mampukah anda memahami, menghayati dan turut bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat setiap kali lagu keramat tersebut berkumandang?
13. Sekiranya anda mampu, adakah anda akan kekal di Malaysia atau pulang ke negara asal anda?


Rakyat Malaysia yang pernah tinggal di luar negara sudah tentu faham perasaannya menjadi pendatang di negara orang. Jiwa Malaysia tidak mungkin hilang dalam tempoh yang singkat. Justeru bagaimana mungkin dapat kita mengharap kesetiaan, kepercayaan daripada pendatang asing yang hanya baru setahun jagung berada di Malaysia?


Tanah Tumpah Darahku bukanlah kalimah biasa yang boleh dibuat main. Ia bukan sekadar nyanyian biasa atau lolongan seronok setiap kali kita menonton bolasepak tempatan. Tanah Tumpah Darahku sangat sinonim dengan perjuangan mempertahankan kemerdekaan dan korban nyawa yang tidak terhitung banyaknya. Jalur Gemilang juga bukanlah sekadar rekaan bendera biasa yang dibuat sambil lewa. Setiap warna, barisan, jumlah bucu dan lentuk bulannya membawa makna yang simbolik dan unik. Saya kurang yakin warganegara segera akan faham semua ini.


Jadi apakah nilai menjadi rakyat Malaysia yang sebenar-benarnya? Pada keturunan, warna kulit? Agama? Status ekonomi?


Nilai sebenar terletak pada jiwa. Jika anda berjiwa Malaysia teruskan menjadi pejuang yang hebat. Jika soalan-soalan di atas boleh anda jawab dengan mudah dan tenang; maka silakan sertai kami menjadi rakyat Malaysia yang patuh dan taat. Namun jika sebaliknya, lupakan hasrat anda buat masa ini, kembalilah berbakti kepada negara asal anda dan jadilah rakyat yang berjasa kepada ibu pertiwi anda. Jangan kacau bilaukan kami, jangan rosakkan kemerdekaan kami, jangan hancurkan cita-cita kami dan jangan sekali-kali khianati kepercayaan kami.


Ingatlah, keris bersarung jauh lebih berbahaya daripada keris terhunus!
AAK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular