Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, January 19, 2011

Amaran PAS: Jangan guna isu negara Islam ‘pecah perintah’ Pakatan


KUALA LUMPUR, 19 Jan — PAS menegaskan hasrat untuk mewujudkan sebuah negara Islam tetap menjadi impian parti itu buat selama-lamanya walaupun tidak termaktub dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat meluluskan Dasar Bersama ketika konvensyen pertama pada Disember 2009 dan keluar dengan Buku Jingga pada pertemuan tahunan mereka bulan lalu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata, parti Islam itu akan sentiasa “mengidamkan" pemerintahan sebuah negara Islam.

“Meskipun atas keinginan kami untuk terus memperjuangkan sebuah pemerintahan negara Islam, izinkan ia jadi impian kami sampai kiamat.

“Tiada halangan, DAP juga tidak dihalang untuk berimpian, kita punyai cita-cita yang tersendiri atas perjuangan PAS.

“Ini adalah permuafakatan yang kita capai dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Jangan jadikan ia (negara Islam) cara pecah perintah kami (Pakatan Rakyat)," katanya ketika Forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat di sini malam tadi.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, PAS lebih selesa bekerjasama DAP dan PKR daripada Umno-Barisan Nasional (BN).

“Kami PAS bekerjasama untuk menegakkan keadilan menentang kezaliman bersama rakan DAP dan PKR.

“Kami ingin bekerjasama dengan sesiapa termasuk DAP walaupun mereka bukan Islam.

“Tapi demi keadilan kami bekerjasama dengan DAP daripada mana-mana pihak yang enggan menegakkan keadilan,” katanya.

Isu negara Islam selama ini menjadi “duri dalam daging” dalam Pakatan Rakyat namun Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh ketika Konvensyen Pakatan Rakyat bersedia berbincang dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menyelesaikannya.

Ia juga menjadi modal serangan ke atas PAS yang membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat turut disertai Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.

Program anjuran Dewan Pemuda PAS pusat itu dihadiri kira-kira 100 orang.

Tambah Dzulkefly, negara yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak akan muflis sekiranya gagal menguruskan urus tadbir negara dengan baik.

Beliau berkata kerajaan kini berdepan dengan peperangan untuk mengatasi “hutang dunia”.

“Negara bertanggungjawab untuk mengatasi hutang negara, yang berjaya adalah negara yang mampu uruskan hutangnya.

“Apabila kita perkenalkan program 100 Hari Pakatan Rakyat, Perdana Menteri takut dan mula menakut-nakutkan kalau Pakatan Rakyat memerintah negara akan muflis.

“Mereka (BN) guna kaedah untuk menakutkan rakyat tapi bukan mudah kerana rakyat sudah celik maklumat," katanya sambil menambah, hutang terkumpul negara seluruh dunia berjumlah RM246 trilion dan ia bertambah setiap tahun.

“Seperti kita maklum hutang negara sudah melebihi 50 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ataupun kira-kira RM250 bilion buat pertama kali dalam sejarah,” tambah Dzulkefly.

Pua berkata melalui Program 100 Hari Pakatan Rakyat negara boleh mengambil alih konsensi lebuh raya tanpa memufliskan negara.

“Mereka (BN) kata pengambilan ambil alih lebuh raya akan memufliskan negara tapi tidak sebaliknya kita boleh membantu rakyat.

“Janji 100 Hari Pakatan Rakyat mementingkan rakyat bukan membebankan,” kata Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Sementara itu, Rafizi berkata, 10 inisiatif dalam program itu diambil untuk ringankan beban rakyat yang dibebankan dengan kadar pendapatan yang rendah.

“Sebab kita buat itu adalah untuk membantu rakyat mengurangkan kos, yang jadi masalah BN menekan rakyat di bawah.

“Kita akan tingkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat melalui program 100 Hari Pakatan Rakyat ini,” katanya.

Pada 19 Disember lalu, Pakatan Rakyat menawarkan Program 100 Hari yang terdiri daripada 10 inisiatif jika pihaknya mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari “kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan 10 program”, antaranya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Lain-lain inisiatif ialah:

— Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat

— Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan mmenaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang

— Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan

— Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa Bandar

— Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda

— Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20 peratus

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman

— Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

(Malaysian Insider)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular