Anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musamencabar trio ‘Datuk T’ menjalani ujian poligraf bagi mengesan sama ada mereka berbohong atau tidak dalam isu video seks yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, ujian itu perlu dilakukan bagi membolehkan dakwaan mereka itu benar-benar boleh dipercayai dan bukan sekadar tindakan terdesak untuk kepentingan politik murahan.
“Kalau Datuk T betul, saya cadangkan adakan ujian poligraf untuk memastikan mereka tidak berbohong 9mengenai isu video aksi seks). Ujian perlu dilakukan secara terbuka dengan dihadiri panel-panel pakar,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Johor, di sini.
Selain itu Husam turut mempersoalkan tindakan Datuk Shazrul Eskay Abdullah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa agama ketika kejadian seks itu berlaku, sebaliknya mendedahkannya ketika musim pilihan raya Sarawak berlangsung.
“Mengapa ketika kejadian itu berlaku dia (Eskay) tidak panggil penguat kuasa jabatan agama sebab itu lebih mudah kerana mempunyai saksi cukup untuk dakwa si pelaku dalam video itu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, isu video seks berkenaan tidak akan menggugat kedudukan dan pengaruh Pakatan Rakyat (PR) kerana tidak mampu untuk mengubah pendirian rakyat terhadap kredibiliti kepimpinan mereka.
“Cabaran boleh ditukar menjadi peluang jika dihadapi dengan tenang dan masalah ini (isu video seks) boleh digunakan untuk bangkitkan sentimen orang Melayu. Tidak mustahil isu ini juga akan tikam UMNO semula,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pendedahan video aksi seks itu sebagai politik lucah yang diamalkan parti tertentu untuk meraih kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.
“Kejadian yang dirakam dalam video itu berlaku pada malam 21 Februari tetapi pagi keesokannya (22 Februari) Anwar dilihat menghadiri perbicaraan di mahkamah.
“Kemudian rambut individu dalam video itu jauh lebih pendek berbanding rambut Anwar pada 22 Februari. Jika Anwar adalah individu itu, tidak mungkin rambutnya boleh tumbuh panjang dengan begitu pantas dalam masa beberapa jam sahaja.
“Jadi besar kemungkinan bahawa pelakunya merupakan orang berbeza dan ini perlu disiasat dengan lebih terperinci,” katanya. -SH