Pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin wajar mendedahkan maklumat tentang rasuah jika mempunyai asas dan bukti, serta untuk kepentingan kepada negara.
Bagi penganalisis politik tempatan Prof Dr Mohd Agus Yusof, pandangan politik yang berbeza boleh diamalkan dalam negara demokrasi.
Katanya, politik negara hari ini sudah berbeza berbanding dahulu.
Bagaimanapun, kata Agus , Raja Petra ketika membuat pendedahan perlu mengelak membuat fitnah atau tuduhan mengaibkan orang lain.
“Tetapi hal-hal peribadi tidak boleh didedahkan,” kata pensyarah UKM itu.
Pada masa sama, Agus menyarankan pihak berkuasa menyiasat dengan adil terhadap dakwaan-dakwaan tersebut.
“Jangan pula jika tuduhan terhadap pembangkang disiasat, manakala yang membabitkan kerajaan tidak dibuat.
“Jika demikian yang berlaku rakyat akan bercakap, rakyat akan menilai dan menuduh kerajaan tidak adil,” katanya lagi.
Rakyat nilai
Agus dalam pada itu meminta rakyat menilai secara rasional dan akal terbuka terhadap pendedahan-pendedahan tersebut.
Katanya, trend sekarang ialah semakin ramai rakyat yang percaya kepada berita-berita yang dibuat oleh media alternatif.
“Orang melihat ini sebagai kapasiti propaganda parti,” tambah beliau.
Sejak kebelakangan ini, Raja Petra yang kini tinggal melarikan diri ke London sejak tiga tahun lalu semakin kerap mendedahkan skandal dan penyelewengan pemimpin politik negara.
Terbaru beliau mendedahkan skandal pasir Selangor yang menurutnya membabitkan dua Adun PKR – Suhaimi Shafie (Seri Muda) dan Amiruddin Shaari (Batu Caves).
Kedua-kedua Adun bagaimanapun, menafikannya.
Raja Petra turut mendakwa pemimpin Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin membekalkan maklumat mengenai pusat fidlot kebangsaan (NFC) bagi menjatuhkan Menteri Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
http://bulatdusun.blogspot.com/2012/02/mengapa-raja-petra-tak-buat-laporan.html