Perhimpunanan agung PERKASA hari ini melantik ahli parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin sebagai naib presidennya yang baru.
Zulkifli dilantik melalui usul tergempar yang dikemukakan oleh ahli dewan tertinggi PERKASA Muhammad Zahid Md Arip.
Usul berkenaan diluluskan sebulat suara.
Zulkifli mengisi jawatan berkenaan yang sebelum ini dikosongkan Datuk Mokhtar Samad.
Muhammad Zahid ketika membentangkan usul tergempar itu berkata, peguam tersebut merupakan bekas penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PERKASA memperuntuk empat lagi jawatan naib presiden yang kini diisi Abang Naseer Abang Hadari, Musli Oli, Dr Zubir Harun dan juga Dr Ashraf Wajidi Dasuki.
Terdahulu, Zulkifli dilihat hadir sebagai jemputan ketika perasmian perhimpunan pada pagi, selain bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin serta seorang lagi bekas angggota kabinet Datuk Khalid Yunus.
Kali terakhir PERKASA merombak jawatankuasanya pada Mac lalu, yang dikaitkan banyak pihak dengan peletakan jawatan bekas ketua Wira Arman Azha Abu Hanifah.
Selain itu, ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak dan juga ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah juga hadir sebagai jemputan.
Ini Dia Kisah Siapa Zulkifli Noordin Sebenarnya..!!
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
ALOR SETAR: Kepimpinan tertinggi PAS sejak dahulu lagi sedia maklum dan mengenali keperibadian sebenar Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin. Kerana itulah, pencalonannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada tahun 2004 ditolak Majlis Syura PAS walaupun ketika itu beliau ialah pimpinan PAS di Bandar Tun Razak.
Malah sebelum itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-10 tahun 1999, Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor juga menolak pencalonan PAS Kawasan Baling untuk meletakkan Zulkifli bagi bertanding kerusi parlimen tersebut.
“Maksudnya keperibadian dia sudah diketahui. Dia ditolak dari bertanding. Dia nampak hebat ketika itu, tetapi kita kenal keperibadiannya. Dia bercakap macam mana dan perbuatannya macam mana, kita tahu.
“Tetapi tidak perlulah kita dedahkan (kepada umum) siapa dia. Kita tak mahu layan dia, lagipun dia wakil rakyat yang tiada maruah,” demikian didedahkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada sidang media sempena Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 22 Oktober lalu.
Sementara itu, Pemangku Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Kulim-Bandar Baharu, Mohd Khairi Salleh berkata, walaupun Zulkifli cuba mendakwa dirinya sebagai wakil rakyat Bebas, hakikatnya dia membawa suara Umno-BN.
Ujarnya, Zulkifli sememangnya seorang yang beramal dengan pembohongan di mana beliau sering menggambarkan pada penulisannya di blog, kononnya beliau turun melawat masalah rakyat di parlimen diwakilinya sedangkan dia sebenarnya tidak berbuat demikian.
Khairi juga menempelak Zulkifli yang sibuk mencabar orang lain bertanding pada pilihan raya akan datang sedangkan kedudukannya sendiri sebagai calon mana-mana parti dilihat mustahil.
“Parti mana hendak ambil dia calon? Pakatan Rakyat tak mungkin. Tidak ada calon mampu bertanding melainkan dengan kekuatan dari jentera parti.
“Jadi Zulkifli ini sekarang aktif menonjolkan diri sebenarnya berharap-harap kalau Umno boleh bagi jawatan Senator pada dia,” ujar Khairi pada Taklimat Lajnah Penerangan PAS Negeri Kedah di Pejabat PAS Kulim-Bandar Baharu, Serdang, 24 Oktober lalu.