Grab the widget  IWeb Gator

Monday, October 24, 2011

Kuburkan hasrat BN mahu rampas Selangor

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengalu-alukan kenyatan Timbalan Pengerusi BN Selangor yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar untuk merampas kembali negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Begitupun, ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan menegaskan pihaknya mempastikan hajat Noh ingin mengembalikan semula negeri Selangor kepada pentadbiran yang korup dan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, keuntungan kekayaan negeri berlegar di sekeliling pemimpin Umno serta kerosakan-kerosakan yang lain akan ‘dikuburkan’ di dalam pilihan raya umum yang akan datang dengan sokongan dan dokongan padu rakyat negeri Selangor yang bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan impian Noh Omar hanyalah angan-angan kosong kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor setakat ini walaupun baru sepenggal memerintah negeri Selangor telah menunjukkan pemerintahan yang mempunyai sistem urus tadbir yang jauh lebih baik, telus, bebas rasuah, cakna kebajikan rakyat serta telah meningkatkan hasil kerajaan dan simpanan negeri Selangor,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, rakyat negeri Selangor kini telah dapat banyak manfaat daripada agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

“Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersama-sama kepimpinan pemuda PAS di semua peringkat dan kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat akan menjadikan impian Noh Omar sebagai ‘mimpi ngeri’ Barisan Nasional di negeri Selangor dengan izin Allah Taala, insya Allah,” katanya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, katanya melahirkan rasa kebimbangan di atas keyakinan Noh Omar menzahirkan hasrat BN merampas negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat sudah pasti akan ada taktik dan teknik ‘kotor dan jahat’.

Katanya, Umno BN Selangor yang akan mengguna pakai cara jahat bagi mencapai maksud tersebut selain kemungkinan daripada kerja kotor yang dibuat oleh pemimpin Umno BN di peringkat Pusat dengan memberikan kerakyatan mudah kepada pemastautin tetap serta mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada pendatang tanpa izin seperti yang telah didedahkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, dengan pertambahan pengundi baru yang cukup luar biasa untuk negeri Selangor bagi tahun ini kemungkinan berlaku penipuan adalah sangat besar seperti mana yang dilakukan oleh Umno BN semasa merampas negeri Terengganu dahulu.

Oleh itu, katanya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat memperkasakan jentera pilihanraya di semua peringkat dengan memberikan khidmat terbaik dari segi penerangan terhadap kecemerlangan pengurusan dan pentadbiran serta kerja-kerja kebajikan kepada rakyat yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tanpa mengira fahaman politik, budaya dan agama.

Selain itu, katanya perlu meningkatkan kewaspadaan terhadap sebarang taktik kotor Umno BN yang sedang terdesak untuk merampas kembali negeri Selangor.

“Seluruh rakyat negeri Selangor juga dinasihatkan untuk melaporkan sebarang kecurigaan dan salah laku pemimpin Umno BN yang cuba untuk memberikan kad pengenalan palsu kepada pendatang tanpa izin, pemastatutin tetap ataupun kepada mereka yang tidak layak bagi menjadi pengundi di dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya. HD

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular