PERMATANG PAUH, 23 Okt: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan tetap dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara kerana ia membebankan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra 'Sepetang Bersama Masyarakat' di Dewan Orang Ramai Batu 5, Permatang Janggus, Permatang Pauh, kelmarin.
Menurut beliau lagi, GST adalah satu bentuk paksaan yang dikenakan oleh pemerintah kepada rakyat yang sedang menghadapi masalah bebanan dengan kenaikan harga barangan.
"Sekiranya cukai ini dikenakan kepada rakyat, ia bukan saja membebankan mereka, tetapi menjadikan rakyat terpaksa tunduk kepada hasrat kerajaan untuk menekan dan menzalimi secara hormat.
"Oleh itu, seandainya PR berjaya memenangi kerusi pilihan raya umum yang akan datang, kita berjanji akan membatalkan GST yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah," ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut menyelar kepimpinan Datuk Seri Najib kerana mempermainkan rakyat apabila menangguhkan GST sehingga selepas pilihan raya yang akan datang.
Katanya, apabila cukai yang hendak dikenakan ditangguhkan sebelum pilihan raya, adalah tidak mustahil ianya akan dilaksanakan selepas ini.
"Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada tidak prihatin terhadap keperluan rakyat, sebaliknya memberi prioriti terhadap keperluan mereka bagi memeras dan mencekik darah rakyat," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga membidas BN yang cuba mempolitikkan isu berkaitan pelajar sekolah yang didakwa terlibat dalam kes serangan seksual dikaitkan dengan anak Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Jelasnya lagi, cara politik yang dimainkan bukan saja mempamerkan kedangkalan modal oleh BN, sebaliknya memperlihatkan bahawa parti tersebut senantiasa menjadikan kelucahan sebagai modal politik terdesak.
"Adalah sesuatu yang merbahaya sekiranya, BN terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan dalam negara apabila mereka tidak dapat menjustifikasikan mana yang baik dan mana yang buruk untuk dipolitikkan," tambahnya lagi. - HD