MARANG - Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang semakin lemah telah menggunakan “senjata” 3R bagi mengekalkan kuasa serta pemerintahannya.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa Umno dan Barisan Nasional telah memanipulasikan isu Raja-raja, agama dan perkauman bagi kepentingan politiknya.
Menurutnya, Umno-BN yang semakin hilang sokongan rakyat dan ‘lemah’ sanggup melakukan apa sahaja bagi mengekalkan kuasa memerintah negara.
“Kita (PAS) lihat mereka (Umno-BN) menggunakan isu 3R iaitu hal Raja, Agama dan Perkauman (Royal, Religion, Race) kerana mereka tidak dapat menggunakan isu yang lain.
"Contohnya, isu pembangunan (yang) popular pada tahun 60an dan 70an, sekarang sudah tidak boleh digunakan lagi,” ujarnya ketika berucap pada program Ceramah Penerangan Isu-isu Semasa di Kampung Kubu Pengkalan Berangan dekat sini pada Isnin 24 Oktober.
Ini kerana, katanya isu-isu pembangunan seperti pembinaan jalan raya tidak berkesan lagi bagi mempengaruhi pemikiran rakyat.
Menurutnya, pada zaman ‘internet’ yang menggunakan teknologi maklumat didapati kalangan generasi muda tidak mudah terpengaruh dengan propaganda kerajaan.
“Kita lihat hari ini, isu-isu pembangunan seperti pembinaan jalan raya dan pembangunan lain tidak memberi apa-apa kesan lagi untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.
“Ini zaman internet, zaman teknologi maklumat dan anak-anak muda tidak mudah terpengaruh dengan pro-paganda pihak kerajaan,” jelasnya.
Malah, kata Mohamad isu pada masa kini yang dilihat penting oleh rakyat adalah berkaitan ‘integriti’ serta kepimpinan sesebuah kerajaan.
Menurutnya, rakyat sedang melihat dan memerhati sama ada berlaku pembaziran atau penyelewengan dalam sesuatu projek pembangunan yang dilaksanakan.
Tambah beliau, meski pun Umno-BN gagal dalam percubaan memutar-belitkan isu tetapi pelbagai usaha dilakukan bagi mengekalkan kuasa pemerintahannya. - BO