DPPM hairan mengapa negara sanggup menanggung hutang setiap tahun. Negara Malaysia adalah antara negara yang kaya dengan pelbagai kegiatan ekonomi, tetapi masih tidak cukup buat menampung perbelanjaan negara. Dengan hasil bumi seperti petroleum yang semakin bertambah, dengan aktiviti pertanian seperti kelapa sawit, getah, padi, nenas dan lain-lain lagi ditambah dengan pelbagai industri yang semakin berkembang, adakah ini masih tidak cukup menampung peerbelanjaan negara. Yang peliknya, rakyat Malaysia tidaklah terlalu ramai jika hendak dibandingkan dengan negara besar seperti Indonesia, China dan India, sepatutnya Malaysia menjadi lebih kaya dan maju serta tidak bergantung dengan pinjaman luar mahupun agensi dalam negara sendiri. Apa perlunya Malaysia meminjam sehingga berhutang keliling pinggang setiap tahun.
Apakah ia kerana kos perbelanjaan bajet ‘one off’ atau ‘gula-gula’ pilihanraya sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam bajet 2012 baru-baru ini menyebabkan Malaysia terpaksa berhutang? Ataukah kerana sikap pemimpin UMNO-BN yang suka projek mega yang membazir dan merugikan negara? Adakah juga ia kerana kegagalan pemimpin UMNO-BN mengurus negara sehingga terpaksa berhutang dalam dan luar negara?
DPPM khuatir tren berhutang ini akan menjadikan negara bangkrap dan seterusnya memufliskan negara. Kesannya terhadap ekonomi negara adalah peningkatan inflasi, jurang pendapatan antara yang berpendapatan tinggi dengan rendah sangat ketara, pelaksanaan cukai yang membebankan rakyat, serta kos hidup yang semakin meningkat. Kesan terhadap sosial pula adalah berlakunya penyelewengan kuasa, rasuah, penindasan, kronisme, monopoli dan sebagainya.
Kenyataan ini membuktikan satu lagi siri kegagalan pemimpin UMNO-BN dalam memimpin negara ini. Meskipun kedudukan ekonomi negara dilaporkan baik dan berkembang dengan sihat, hakikatnya pemimpin negara gagal melindungi ‘kesakitan’ negara ekoran hutang negara yang terlalu banyak.
DPPM mengharapkan dengan ini rakyat akan meletakkan noktah terakhir buat UMNO-BN dalam PRU akan datang dan seterusnya memberi peluang Pakatan Rakyat pula memimpin negara ini. DPPM yakin, Pakatan Rakyat akan mampu membuktikan bahawa dalam keadaan negara tidak berhutang boleh menjamin kemajuan dan kestabilan negara. Bahkan, Pakatan Rakyat akan pastikan negara bebas dari hutang yang membelenggu selama ini dengan pentadbiran yang cekap, amanah, telus, bebas dan adil.
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia