Dalam Bajet BN yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan baru-baru ini yang berhasrat ‘memacu pembangunan masyarakat Bumiputera’,
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah diberi mandat untuk melaksanakan agenda dan menyalurkan bantuan dana kepada rakyat khususnya peniaga-peniaga kecil Bumiputera.
Najib telah mengumumkan sebuah lagi skim dana iaitu Dana Mudahcara Bumiputera, enak sungguh nama ini bila didengar, dengan bantuan berjumlah RM300 juta.
Dalam pada itu juga, KKLW akan membimbing 1,100 buah syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk dibangun atau dimajukan. Sudah pasti kos untuk ‘membimbing’ syarikat-syarikat kecil ini juga akan menelan kos.
Bagus jika kerajaan mahu membantu dan membangunkan ekonomi kaum Bumiputera yang patut mendapat bantuan.
Tetapi pada dasarnya, beberapa persoalan telah timbul:
* Adakah jaminan pihak kerajaan khususnya KKLW bahawa proses permohonan dan karenah birokrasi dapat diatasi atau paling tidak dikurangkan?
* Adakah ada jaminan bahawa dana ini kelak akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan?
Antara niat dan karenah birokrasi
Di bawah KKLW sudah sedia wujud beberapa badan yang sudah sarat dengan pelbagai program di setiap satu bahagian dan bermacam-macam karenah birokrasi baik dari aspek proses permohonan, pengesahan, perbincangan dan lain-lain.
Bagi kita rakyat yang tidak mudah lupa, suatu ketika dulu dan ia sudah pun menjadi rahsia umum, di mana skandal Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah RISDA hingga hari ini tiada apa-apa tindakan yang telah diambil.
Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2000 mengesahkan secara jelas kira-kira RM40 juta peruntukan projek telah diselewengkan. Hanya rakyat yang lebih arif, siapa penghisap darah rakyat dalam kes ini.
Lihatlah, bagaimana UMNO-BN yang sepatutnya menolong rakyat miskin sedangkan pada masa yang sama hak rakyat termiskin ini turut dibahamnya. Inilah yang dikatakan Drakula, lebih menyedihkan, mangsanya adalah Bumiputera miskin sendiri.
Dan ada lagi yang amat-amat menyedihkan, rakyat miskin yang telah hidup-hidup dibohong oleh UMNO ini masih terus menyokong UMNO setelah digula-gulakan dengan kain batik dan kain pelikat semasa kempen pilihan raya, dan sekarang ini kena ditambah sedikit wang tunai.
Begitu sekali UMNO menjual anak bangsanya.
Oleh yang demikian, berdasarkan sejarah dan sistem dalam kementerian yang masih lagi sama seperti dahulu, apakah jaminan kerajaan bahawa semua dana-dana ini akan diurus dengan betul dan telus?
Tawaran sebenar untuk rakyat
Dalam hal ini, Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat tidak culas dalam memahami dan membantu golongan luar bandar dan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana renedah.
Antara lain Pakatan menawarkan:
Pembangunan serantau dan luar bandar akan digalakkan melalui desentralisasi pentadbiran.
Monopoli import beras yang dipegang BERNAS akan dihapuskan. Lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian.
‘Disentralisasi’ ini jelas memberi makna ‘kuasa atau monopoli’ kroni kerajaan dalam melaksana dan mengurus pembangunan luar bandar akan dikurangkan, jika tidak dihapuskan sama sekali.
Dengan maksud lain, kerajaan PR apabila memerintah kelak, akan memberi kebebasan dan dorongan kepada pengusaha di luar bandar untuk merencana dan mencorak sendiri aktiviti ekonomi dan pembangunan mengikut kehendak dan keperluan mereka sendiri.
Bukankah ini demokrasi namanya?
Bukankah rakyat tidak mahu dikongkong malah mahu berdikari demi menentukan apa yang mereka mahukan di dalam kawasan mereka sendiri?
‘Hak rakyat’ adalah asas pertama dalam perjuangan Pakatan Rakyat di mana ia adalah penentu sebelum dana atau wang disalurkan.
Kuasa monopoli BERNAS juga akan turut dihapuskan. Ini bertujuan memberi dan mewujudkan persaingan pengusaha/usahawan yang sihat. Dengan dasar ini, maka kualiti dan produktiviti akan lebih mudah meningkat.
Bukankah ini dasar mewujudkan satu sistem yang telus?
UMNO tidak perlu segan untuk belajar dalam hal ini. Lagi pun ia untuk kepentingan rakyat.
Misteri angka 1,100 and Tekun
Melihat kepada hasrat kerajaan untuk membimbing 1,100 buah syarikat Bumiputera ini juga mengundang kepada persoalan yang sama.
Bukankah angka 1,100 ini adakah bersamaan dengan dasar gaji minima RM1,100 yang diperkenalkan dalam Belanjawan Pakatan Rakyat baru-baru ini?
Tetapi janganlah kita berburuk sangka sangat dengan UMNO, barangkali ia kebetulan. Dalam hal ini, kita amat bersyukur kerana masih belum lupa dengan isu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).
Foto Ehsan - malaysiawaves.com
Isu Tekun hingga hari ini kebanyakan rakyat merasa amat tertipu dengan kerajaan UMNO-BN. Sudah acap kali kita dengar rungutan usahawan Bumiputera yang memohon dana Tekun dan tuduhan yang biasa didengar ialah “lebih baik wang dana dari kantong kerajaan itu terus sahaja disalurkan berdasarkan keahlian UMNO”.
Lebih parah untuk imej UMNO ialah apabila ada usahawan Melayu yang dengan nada marah mengatakan: “Gunakan sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membantu UMNO mengagihkan dana itu. Jika rakyat yang lain dan pembangkang bantah, UMNO boleh pinda dan buat undang-undang baru demi menghalalkannya, bukankah ia lebih mudah?”
Inilah signifikannya analogi di atas. Kunci kepada duit dalam peti simpanan kerajaan sekarang dipegang oleh UMNO. Daripada niat asal penubuhan UMNO untuk membantu Melayu, kini ia hanya untuk mengkayakan pemimpin UMNO dan kroni-kroni mereka.
Kepada yang masih samar-samar, ini adalah satu lagi ‘kehebatan’ Bajet BN 2012 yang kononnya adil untuk semua. – Roketkini.com