Grab the widget  IWeb Gator

Monday, October 17, 2011

Pandai-pandai tuduh orang kurang ajar

Pakar perlembagaan negara, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, hari ini, menempelak mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membidasnya kerana mendakwa tindakan mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Shafaruddin Idris Shah adalah perlakuan kurang ajar.


“Kata Mahathir saya bersifat kurang ajar, tidak bermoral terhadap raja-raja. Adakah beliau betul?

NONE“Cuba bandingkan, apa yang saya katakan dan tulis (mengenai Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama) dengan apa yang diperkatakan dan dilakukannya pada tahun 1983 dan 1993,” kata Aziz dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Sebagai mengimbas semula, kenyataan Aziz yang bertajuk “Ehhh….look who’s talking?” menceritakan bagaimana pada 1983, Mahathir meminda perlembagaan supaya undang-undang boleh digubal tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, kuasa menggistiyharkan darurat juga dipindahkan daripada Seri Paduka kepada Perdana Menteri. Semua pindaan itu mencetuskan krisis, katanya.


Menurut Aziz lagi, pada 1993, Dr Mahathir juga melucutkan kekebalan raja-raja Melayu dan mahu peruntukan undang-undang supaya baginda boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas.

“Semua pindaan itu juga menimbulkan krisis.

“Dalam kedua-dua peristiwa itu, beliau juga menganjurkan perhimpunan di seluruh negara bagi membidas raja-raja (agar rakyat bangkit menyokongnya),” katanya.

mahathir at global leadership forum 070905 talkingDr Mahathir selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-11 Universiti Teknologi Petronas (UTP), di Parit, semalam dilaporkan berkata tindakan Aziz mempertikaikan titah Sultan Selangor adalah perlakuan kurang ajar.

Ahkbar milik Umno, Utusan Malaysia juga memetik mantan perdana menteri itu berkata, walaupun ia mungkin tidak menyalahi undang-undang, tindakan Aziz yang enggan meminta maaf atas kesilapannya itu jelas bertentangan dengan prinsip moral.

“Kalau dalam bahasa Melayu, kita kata kurang ajar. Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar,” kata Mahathir.

Bagaimanapun menurut Aziz, terpulang kepada rakyat menentukan siapa sebenarnya yang bersikap kurang ajar kepada raja-raja Melayu kerana umum tahu pendirian Dr Mahathir dan Umno yang seringkali tidak tetap dan akan memihak kepada keputusan yang menguntungkan mereka.

“Dua tahun lalu, dia (Dr Mahathir) kata OK bagi pihak Istana menyingkirkan (Menteri Besar Perak Datuk Seri) Nizar (Jamalauddin).

“Dan awal tahun ini pula, beliau berkata dirinya tidak pernah merampas kuasa sultan dalam pelantikan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Selangor (selepas Sultan bertitah baginda tidak lagi mempunyai kuasa melantik SUK).”

Pada 11 Oktober lalu, kenyataan Aziz yang berkata tindakan Sultan Selangor untuk campurtangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu, bukan sesuatu tindakan yang lazim mencetuskan kontroversi.

Katanya, tindakan Sultan Selangor itu tidak konsisten dan tidak selaras dengan ajaran Islam.

Berikutan itu, pemimpin BN, khususnya Umno dan media-media miliknya memperhebatkan bidasan mendesak Aziz memohon maaf dan dikenakan pelbagai tindakan kerana didakwa biadap dan derhaka kepada institusi raja-raja.

Kenyataan Dr Mahathir melucukan
KUALA LUMPUR, 17 Okt ─ Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan respons bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam kononnya kenyataan beliau tentang titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini sebagai kurang ajar adalah “agak melucukan.”

“Saya lihat pandangan itu (Dr Mahathir) agak melucukan... saya tidak tahu nak kata apa... tengok siapa yang bercakap,” kata Aziz (gambar) dengan merujuk kepada perkembangan berkaitan dengan isu-isu istana ketika kepimpinan Dr Mahathir, yang juga bekas presiden Umno.

“Saya sebenarnya tidak mahu kata apa-apa, tidak mahu beri respons mengenai kenyataan Dr Mahathir ini... kita tahu siapa beliau,” kata beliau sambil menambah, semua pihak tahu pendirian Dr Mahathir dan kandungan ucapannya semasa hendak mengkaji semula kekebalan raja-raja.

“Saya hanya sentuh mengenai kaedah tindakan sultan, dan jika kita melihat ucapan dan kenyataan semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri, ia menjangkaui aspek itu, beliau telah menyentuh asas institusi diraja... tengok balik kenyataan dan ucapan-ucapan beliau,” kata Aziz.

Semalam Dr Mahathir menyifatkan kenyataan Aziz berhubung titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama “sebagai kurang ajar.”

Beliau berkata, kenyataan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu bertentangan dengan moral masyarakat timur dan boleh disifatkan sebagai kurang ajar dalam budaya Melayu.

“Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar,” kata Dr Mahathir dipetik Bernama.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Aziz yang disiarkan sebuah portal berita bahawa tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukan sesuatu tindakan yang lazim.

Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin Umno membuat laporan polis agar dikenakan tindakan ke atas Aziz.

Dalam kenyataannya semalam, Aziz ada memberitahu bahawa beliau sedang mengkaji dengan serius untuk menyaman Utusan Malaysia dan media lain yang menurut beliau telah memutar belit kenyataannya tentang titah Sultan Selangor.

Kata pakar perlembagaan ini, pihak-pihak terbabit sepatutnya mengulas dan menganalisis pendapat beliau, bukannya menuduh “derhaka” dan meminta pengurusan Universiti Islam Antabangsa mengambil tindakan ke atasnya.

“Saya tidak pernah menafikan kuasa Sultan sebagai ketua agama; malah saya akui kuasa itu. Saya hanya komen bagaimana kuasa itu digunakan,” kata beliau.

Aziz berkata di bawah undang-undang Malaysia tidak ada konsep derhaka atau kurang ajar.

“Tuduhan derhaka dan kurang ajar itu mahu memprovokasi masyarakat supaya membenci saya. Mereka juga putar belit kenyataan saya kononnya saya enggan minta maaf,” kata beliau lagi.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Dr Mahathir, Aziz berkata, kemungkinan negarawan itu sudah lupa dengan apa yang beliau telah lakukan semasa menjadi perdana menteri dan presiden Umno.

“Beliau sudah lupa, mungkin sudah tidak ingat... sudah lupa,” katanya dengan merujuk kepada perkembangan kes meminda Perlembagaan Persekutuan tahun 1983 dan 1993 selain respons berkaitan dengan krisis politik Perak 2009 dan isu berkaitan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor akhir tahun lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular