Musa kau tidak tahukah ?? RCI Projek IC baru-baru ni bagi tau lebih daripada 40% penduduk di SANDAKAN adalah PTI.
Rakyat tidak rugi sokong BN: Musa
SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, menegaskan rakyat di negeri ini tidak rugi menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana para pemimpinnya sedar dan peka terhadap keperluan rakyat tanpa mengira waktu.
Seperti tuntutan Islam, katanya, kerajaan mahu kesepakatan dan perpaduan di kalangan pemimpin dan rakyat agar kerajaan bertambah teguh dan berupaya membawa pembangunan sekali gus mencapai negara maju.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Ramadan dan majlis berbuka puasa bersama rakyat anjuran Suria Capital Holdings Berhad di Masjid al-Faj’r Taman Fajar, Batu 7, dekat sini, Ahad lepas.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dan keliru dengan cubaan anasir luar yang berusaha memecah belahkan perpaduan sejak sekian lama.
Sempena bulan Ramadan ini, Musa yang juga Adun Sungai Sibuga meminta rakyat meneruskan amalan bekerjasama dan bantu-membantu khususnya golongan kurang berkemampuan.
Menurutnya, kerajaan dan agensi-agensinya turut peka terhadap keperluan golongan tersebut dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban mereka agar tidak ketinggalan dalam menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Beliau turut memuji usaha pihak Suria Capital menganjurkan majlis berbuka puasa itu yang diketuai oleh pengerusinya iaitu Datuk Faisyal Hamdan Diego.
Usaha syarikat korporat itu memberi manfaat kepada golongan fakir miskin, muallaf, golongan kurang upaya, anak yatim, ibu tunggal dan warga emas di empat kawasan iaitu Umno Fajar, kawasan perumahan, Kampung Mengkalinau dan Kampung Batu Putih.
Pada majlis itu, Musa telah menyampaikan sumbangan pihak Suria Capital dan peribadi kepada 722 penerima yang layak. Newsabahtimes