Grab the widget  IWeb Gator

Monday, July 29, 2013

Janji jangan komunis

dah berbulan trailer The New Village main kat wayang. aku tunggu je bila nak release. tiba tiba kena ban. filem beromen tak apa, janji jangan komunis. syukur Malaysia aman. - by Johan


Dilema The New Village, Tanda Putera jadi mainan tangan ghaib - Muhammad Ariff Mohamad Nizam
Tergamam. Terkesima. Teruja.

Tiga reaksi yang terbentuk tatkala menjenguk ruang laman sosial Facebook rasmi milik filem baharu yang bakal ditayangkan pada 22 Ogos kelak iaitu The New Village.

Sebagai ringkasan, dalam gambaran yang terbentuk kerna belum menonton lagi, filem yang membawa tema sejarah ini mungkin sekali bertujuan mahu menceritakan kisah kehidupan penduduk kampung baru cina yang dibuka di bawah Rancangan Briggs yang bermotif untuk mengawal pergerakan komunis dengan orang awam terutama sekali warga Cina.

Mungkin, begitulah sedikit sebanyak intipati filem tersebut.

Namun begitu, belum sempat ia menjengah panggung, sudah berlambak komentar membantah tayangan filem tersebut. Begitu jugalah kondisinya yang menimpa filem Tanda Putera sebelum ini. Kasihan pengkarya.

Bangkitnya kisah The New Village yang kurang publisiti tayangannya ini pada umum semenjak sebuah lidah arus perdana menjadikannya sebagai tajuk utama khabar tersebut. Persoalan dibentuk menyoal perihal filem tersebut diluluskan pihak penapisan filem yang ditohmahnya mengangkat komunis.

Dan bertambah rumit kronologi ini pabila pak menteri bertanggungjawab mengarahkan sang lembaga yang menjadi tukang tapis filem-filem pengkarya Malaysia untuk menapis sekali lagi filem tersebut. Ya, kasihan pengkarya.

Di sinilah, industri seni kita ibarat digari dan dibawa ke sana ke mari tanpa kebebasan. Dikawal 24 jam, 7 hari seminggu 365 setahun. Bagaimana industri mahu mencapai ke tahap yang lebih tinggi? Bagaimana mahu melangkah ke pentas negara maju kalau filem yang sepatutnya menjadi ejen pendidik membina perspektif warganya asyik dimainkan oleh tangan-tangan ghaib.

Tangan-tangan ghaib?

Ya, tangan ghaib yang dimaksudkan merujuk kepada ejen pahlawan kaum dan ejen hero fanatic politikus. Kesemuanya mempunyai kepentingan tersendiri, yang terjerat kini pengkarya. Dunia mereka tidak bebas walaupun karya mereka mempunyai mutu dan nilai yang tersendiri. Rugi. Sekali lagi, kesian pengkarya.

Lebih malang lagi apabila marhaen terus diuji dengan aktiviti pembodohan mentaliti. Aksi melenting bergegak gempita di laman sosial seperti biasa melempar kata nista tanpa mengetahui intipati sebenar filem-filem tersebut. Hakim-hakim yang arif muncul dan terus dijatuhkan hukuman kepada karya-karya sebegini. Lagi, kasihan pengkarya.

Masalahnya di sini bukan pemerintah mahupun pembangkang kuasawan politik tetapi mereka di belakang mereka yang meraih perhatian cuba membawa isu yang entah apa-apa ke arus media massa. Filem-filem yang membawa sejarah yang mempunyai hujah perbandingan dan perbedaan pendapat membuka ruang untuk dialog pensejarahan negara.

Kaji semula sejarah dan fahami. Rujuk sumber yang banyak bukan hanya merujuk pada buku teks sahaja. Kita ramai sejarahwan yang menghasilkan buku ilmiah yang mendedahkan apa yang tidak didedahkan di dalam buku teks sejarah kurikulum sekolah. Rujuk. Bukan hanya rujuk blog-blog picisan sahaja.

Bagi aku, ia bukan soal komunis, DAP, Umno, ia soal sejarah dan pembentukan mentaliti menerusi pendidikan. Beri ruang untuk bina persepktif. Jangan cepat melatah. Rujuk sejarah kembali. Kerna tahap pemahaman kita berbeda-beda dan cara interpretasinya pun membuahkan hasil yang berbeda.

Itu tidak mengapa, raikan perbedaan pendapat tersebut bak kata Dr. Maza. Dan kikis sikap manipulasi dan hanya menjadi keyboard warrior di laman siber. Buka ruang berdialog ilmiah bukan melatah.

Dalam skop perfileman sebegini, kalau sang lembaga dah luluskan, biarkan saja ditayangkan. Tonton dulu dan buat reviu filem tu kemudian. Bergegar menghukum di laman sosial tak guna juga kalau tak turun ke panggung untuk tonton. Tak begitu? Selamat menonton The New Village (kalau sang lembaga beri pelepasan selepas tapisan kali kedua) dan Tanda Putera.

Moga para pengkarya terus teguh bersabar dengan kerenah sebegini. Majulah filem untuk negara! - 29 Julai, 2013. TMI

Usah tayang ‘The New Village’ jika agungkan komunis, kata Khairy - Bernama
Kebenaran terhadap tayangan filem 'The New Village' perlu ditarik balik jika ia mengagung-agungkan peranan komunis dan mencetuskan provokasi, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin .

Berdasarkan tontonan trailer, beliau berkata, filem itu seolah-olah mengagung-agungkan komunis dan ia tidak boleh diterima sama sekali.

"Ini usaha untuk menulis semula sejarah kita dengan mengagung-agungkan komunis yang kita tahu adalah pengganas yang banyak melakukan keganasan di negara kita.

"Walaupun betul komunis lawan British tetapi keganasan itu tidak boleh dimaafkan," katanya kepada pemberita pada program Ihya Ramadan Parlimen Tapah di Masjid Al-Mukmin, Batu Tiga di Shah Alam, malam tadi.

Khairy meminta kerajaan menilai semula keputusan membenarkan tayangan filem itu.

"Kalau ada orang kata kenapa saya buat keputusan dan kenyataan ini sedangkan saya belum tengok (keseluruhan) filem ini. Saya boleh rujuk kepada kes filem 'Tanda Putera', ramai yang tidak tengok tetapi terus menghukum sampai 'Tanda Putera' ditunda dan ditangguh selama satu tahun," katanya.

Mengenai kebenaran tayangan filem 'The New Village' yang dilihat begitu mudah berbanding 'Tanda Putera', Khairy berkata sepatutnya tidak wajar berlaku 'pilih kasih'.

"Itu yang menimbulkan tanda tanya. Saya akan bawa perkara ini ke Kabinet sebab kita melihat jelas berlaku 'double-standard.'

"Trailernya sahaja kita sudah nampak ia mengagung-agungkan pengganas komunis boleh dilepaskan begitu sahaja, sedangkan 'Tanda Putera' kena tunggu satu tahun. Bagi saya ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan pendedahan sebuah blog mengenai filem itu yang dilihat mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai 'hero' dan mempersoal bagaimana ia boleh ditayang pada bulan kemerdekaan.

Sedangkan, filem 'Tanda Putera', yang mengisahkan perjuangan pemimpin negara dalam mendepani insiden 13 Mei, terpaksa ditangguh tayangan beberapa kali. - Bernama, 29 Julai, 2013.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular