(Azizan dan Amirudin menunjukkan gambaran surau baru di Aman Central yang bakal menggantikan Madrasah Salihiah - gambar Harakah)
ALOR SETAR, 25 Jan: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Diraja Azizan Razak menunjukkan pelan cadangan surau baru di Aman Central, yang bakal menggantikan Madrasah Salihiah.
Surau itu bakal dibuka 24 jam walaupun kompleks membeli belah itu tidak dibukan 24 jam.
Surau berkeluasan 4,800 kaki yang mampu memuatkan 400 jemaah akan dibina di aras bawah oleh pemaju, Belleview Sdn Bhd, bagi menggantikan madrasah yang diroboh.
Sebelum Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, mencabar kerajaan negeri Kedah menunjukkan pelan cadangan surau bagi menggantikan Madrasah Salihiah.
“Saya hairan kenapa asyik bercakap pasal nak roboh surau tetapi tidak diuar-uarkan akan dibina surau baru yang lebih luas dan selesa.
“Sejumlah RM4.8 juta disumbangkan pemaju kepada Majlis Agama Islam Kedah (Maik) untuk bina surau ini, selain RM1.4 juta yang telah dibayar, menjadikan keseluruhan RM6 juta,” kata Azizan kepada media selepas meraikan masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baru Cina, di Seri Mentaloon.
Menurutnya, Maik telah pun mengenal pasti enam tapak di sekitar Alor Setar untuk dipilih bagi menggantikan tanah wakaf baru madrasah itu.
Menurut Azizan selain berhasrat membangunkan negeri ini, projek berkenaan Aman Central bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 orang.
“Selain kompleks beli belah, sebuah hotel lima bintang akan dibina berdekatan dalam usaha kita merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar. Kita mahu ubah kawasan ini menjadi seperti Orchard Road di Singapura,” katanya.