KUALA LUMPUR: Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat mendahului Perdana Menteri berhubung Akta Hasutan 1948 apabila enggan memansuhkannya.
Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata, lebih baik Zahid meletakkan jawatan sahaja jika tidak bersetuju dengan Datuk Najib Razak.
"Kalau Zahid tidak setuju apa yang dicadangkan Najib dia kena letak jawatanlah. Dia mesti setuju dengan apa yang dikatakan perdana menteri, tidak boleh mendahului perdana menteri," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Mengulas mengenai janji Najib untuk memansuhkan akta tersebut dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional, Hanipa berkata janji tersebut harus ditunaikan.
"Apa yang dijanjikan mesti ditunaikanlah. Bukan sahaja hapuskan akta tapi sementara akta itu dihapuskan, segala pendakwaan di bawah akta ini harus ditarik balik untuk menunjukkan kerajaan serius," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff menuntut akta tersebut dimansuhkan kerana didakwa bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Tambahan pula katanya, akta tersebut lebih banyak dikenakan ke atas pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat.
"Di bawah akta hasutan yang diambil tindakan hanyalah pemimpin pakatan rakyat. Walauun banyak isu dikaitkan dengan pemimpin kerajaan tapi tak ada dakwaan dan tangkapan dan menampakan akta ini menjadi alat untuk menangkap atau menahan pemimpin Pakatan Rakyat," katanya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. HARAKAH