Ramai di antara kita percaya bahawa nasib Parti Gerakan telahpun ditentukan apabila parti itu menyertai Barisan Nasional (BN) pada tahun 80an. Dan kini, dengan hanya satu kenyataan, presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon telah membawa parti pimpinannya ke suatu arah masih tidak menentu.
Di dalam sidang akhbar di pagi tadi, Dr Koh telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding di dalam pilihanraya umum (PRU) yang akan datang.
Kenyataan dan tindakan Dr Koh tersebut seakan-akan menunjukkan bahawa beliau akan melepaskan Gerakan dan Pulau Pinang (yang pada suatu ketika dahulu kubu kuat Gerakan) bagi selama-lamanya.
Memang tidak dapat dijangka, Dr Koh pada suatu ketika dahulu adalah anak emas bekas ketua menteri Pulau Pinang, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu, pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Dr Lim dan seterusnya menjawat jawatan tersebut setelah Dr Lim bersara daripada politik.
Dr Koh menjadi naib-presiden Gerakan pada tahun 1991 dan kemudian naik menjadi timbalan presiden parti dalam tahun 2005 dan pada 8hb April 2007, beliau menjadi pemangku presiden parti menggantikan Tun Dr Lim Keng Yaik berikutan persaraannya dari politik. Dr Koh kemudiannya dipilih sebagai presiden parti pada tahun 2008.
Kesan politiknya
Secara umumnya, keputusan Dr Koh untuk tidak bertanding sebarang kerusi pada PRU yang akan datang tidak akan memberikan sebarang kesan yang besar kepada Gerakan, mahupun Pulau Pinang. Ini adalah kerana Dr Koh telahpun ditolak mentah-mentah oleh para pengundi di dalam PRU yang lalu dan pada masa yang sama Gerakan masih berada dalam kongkongan BN yang sedang dikuasai sepenuhnya oleh Umno.
Untuk pengetahuan umum, Gerakan adalah merupakan sebuah parti politik berbilang kaum yang pertama di negara ini apabila parti tersebut ditubuhkan dalam tahun 1968 dan masalah yang utama sekarang adalah parti tersebut kini telah ditolak para pengundi.
Pembaharuan
Gerakan perlukan suatu agenda pembaharuan yang menyeluruh bagi menjana semula kekuatan parti tersebut dan dengan Gerakan masih berada di bawah BN yang diterajui oleh parti-parti yang masih berasaskan perkauman masing-masing, ianya tidak akan dapat memberikan kesan yang positif kepada parti tersebut yang memiliki objektif untuk menyatukan semua rakyat Malaysia sebagai satu Bangsa Malaysia yang tunggal.
Ini menunjukkan Gerakan sehingga ke hari ini masih terperangkap di dalam agenda perkauman yang kuat dan kukuh yang dipelopori khususnya oleh Umno dengan agenda Ketuanan Melayunya yang semakin radikal dan ganas.
Tinggalkan BN
Oleh kerana Gerakan tidak dapat menangkis agenda ketuanan Umno yang semakin radikal dan keganasan, parti tersebut perlu berani menonjolkan dirinya dengan meninggalkan gabungan BN itu dengan segera bagi menjana semula ideologi Gerakan yang asal.
Ini adalah kerana di dalam BN, Gerakan tidak mempunyai sebarang kedudukan yang kukuh untuk memperjuangkan idealisme berbilang kaumnya dan semangat Bangsa Malaysia yang dipeloporinya selama ini, semuanya akibat daripada kongkongan dan monopoli kuasa penuh yang dipegang oleh Umno.
Pendek kata, Gerakan mempunyai asas dan semangat juangnya, tetapi mereka tidak dapat menggunakannya disebabkan oleh Umno yang menjadi penentu tunggal di dalam BN. Gerakan seolah-olah seperti mangsa dengan kedudukannya di dalam gabungan BN itu yang tidak dapat berbuat apa-apa untuk ahli-ahli partinya dan rakyat pada keseluruhannya.
Masih setengah jalan
Oleh yang demikian dengan Gerakan masih berada di dalam kongkongan BN parti tersebut tidak akan dapat memperbaharui dirinya dengan sepenuhnya melainkan parti itu berani mengangkat kakinya melangkah keluar daripada kongkongan BN dan Umno khususnya bagi menghidupkan semula semangat dan seterusnya memulihkan parti daripada kelemahan mereka sekarang.
Dan oleh kerana Dr Koh masih belum lagi mengemukakan perancangan parti pimpinannya pada keseluruhan, tindakan beliau itu dianggap masih setengah jalan dan seolah-olah perlaksanaan itu terhenti seketika kerana Dr Koh dilihat masih tidak dapat mengundurkan diri dan pada masa yang sama masih belum lagi dapat melaksanakan sebarang pembaharuan untuk Gerakan. Ianya masih tidak menentu dan ahli-ahli parti juga masih keliru dengan tindak-tanduknya yang kurang jelas.
Justeru dari itu, Dr Koh perlu meletakkan jawatannya sebagai presiden parti dan pengerusi BN Pulau Pinang, sekaligus melepaskan jawatan menterinya bagi membolehkan Gerakan diambil-alih sepenuhnya oleh peneraju daripada generasi yang baru.
Bukan sahaja Dr Koh, malah para pemimpin golongan konservatif yang lain seperti Dr Teng Hock Nan, Datuk Chang Ko Youn, Datuk Chia Kwang Chye, Datuk Gooi Hoe Hin, Datuk Lim Keng Guan dan sebagainya juga perlu mengundurkan diri bagi memberikan peluang kepada generasi muda dalam parti untuk mengambil alih. MC