Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya Himpunan Bersih 2.0 Sabtu ini akan tetap mendapat sokongan rakyat walaupun terpaksa diadakan di stadium.
Menteri Besar Kelantan berkata Himpunan Bersih 2.0 akan menjadi manifestasi kepada kebangkitan rakyat yang menentang segala penyelewengan dan permainan “politik jahat” Umno-Barisan Nasional (BN).
“Walau di mana pun Himpunan Bersih 2.0 diadakan pada 9 Julai ini, saya penuh yakin bahawa ia tetap merupakan manifestasi kebangkitan rakyat yang menentang segala tipu daya dan permainan politik jahat Umno-BN.
“Saya yakin Yang di-Pertuan Agong (Tunku Mizan Zainal Abidin) selaku payung rakyat jelata tentu akan bertindak untuk kebaikan seluruh rakyat,” kata Nik Aziz dalam laman Facebook.
Tegas Nik Aziz, ekoran pendirian terbaru Yang di-Pertuan Agong dalam isu Himpunan Bersih 2.0, beliau yakin Umno-BN tidak lagi “mempunyai kuasa” untuk mempergunakan institusi diraja demi kepentingan politik.
“Umno-BN tidak usah berharap untuk mempergunakan instituti beraja untuk mempertahankan mereka.
“Segala usaha mereka untuk menudung segala penyelewengan sistem pilihan raya tidak akan berjaya kerana kebangkitan dan kesedaran rakyat sudah sampai ke kemuncaknya,” katanya.
Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (Bersih) hari ini bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini di stadium.
Menurut Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevanesan, keputusan itu dibuat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 bagi membincangkan lokasi yang sesuai — sebuah stadium — bagi perhimpunan Sabtu ini tetapi menegaskan tawaran itu adalah bersyarat.
Kelmarin Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.
Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”
Selain itu pemimpin Pakatan Rakyat secara sepakat menerima tawaran mengadakan Himpunan Bersih 2.0 di stadium.TMI