ALOR SETAR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar pemimpin Barisan Nasional (BN)khususnya anggota Kabinet dan Exco Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta peribadi mereka seperti dilakukan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang, kelmarin.
Menurutnya, pengisytiharan harta itu membuktikan PR berani dan selaras dengan janji mereka yang mahu membuktikannya kepada rakyat.
"Kita tidak takut istihar harta sebab kita bersih, pemimpin BN berani atau tidak seperti kita?
"Jika pemimpin BN isytiharkan harta pasti lebih firaun dari firaun, itu perbezaannya," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Rakyat di sini malam tadi.
Perisytiharan harta, yang dibuat kelmarin, membabitkan tempoh 8 Mac 2008 hingga 31 Disember 2011, dikeluarkan oleh syarikat akauntan bertauliah yang dilantik Kerajaan Negeri iaitu KPMG.
Selain itu, Guan Eng turut berjanji tiga perkara iaitu menghapuskan tol Lebuh Raya Utara-Selatan, pemberian RM1,000 setahun kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas dan menurunkan kos sara hidup seluruh negara.
Katanya, janji ini boleh dicapai kerana menurutunya PR berjaya membuktikan pentadbiran yang bersih, sebagaimana dapat disaksikan di Pulau Pinang.
"Kos pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan adalah sebanyak RM6 bilion tetapi sekarang syarikat yang menyelianya sudah mengutip RM24.3 bilion, apa lagi yang mereka mahu kutip?
"Oleh itu, saya berjanji tol lebuh raya ini akan dihapuskan sejurus kita menawan Putrajaya," katanya.
Ceramah ini turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik serta dihadiri kira-kira 1,000 orang.