Satu Malaysia menanggung kerugian, apabila pemerintah mengambil langkah memusnahkan institusi pengajian, mengawal media dan memperbodohkan rakyat - lantas memberi laluan kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah untuk berlaku sepanjang puluhan tahun ini.
Pandangan berbeza dicantas, demonstrasi jalan raya dipatahkan setelah dewan dalam universiti untuk pertembungan pandangan ditutup, dan peranan universiti sebagai institusi pendidikan dimusnahkan. Lantaran daripada itu, universiti awam tempatan menghasilkan badut, kaki bodek, malah ahli akademik yang memplagiat kajian orang lain pada hari ini...
Hishamuddin Rais (gambar , kedua dari kiri), yang juga "produk" Universiti Malaya pada tahun 1970-an, gagal menahan kemarahan melihat situasi institut pengajian tinggi tempatan yang diperlakukan sebegini oleh pemerintah, sehingga mengeluarkan kata-kata kasar, "Masa sudah tiba. Masa sudah tiba untuk semua kita kata, F*** you, United Malays National Organisation!"
Luahan Hishamuddin Rais ini disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh daripada lebih 150 orang hadirin, dalam satu forum berjudul "Malays Are Muted Too! - The Importance Of Freedom Of Expression", bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (SCAH), semalam.
Forum ini mempertemukan mereka yang "dibisukan"- Zunar yang diharamkan karya kartunnya; Amir Muhammad yang dirampas buku terbitannya, Jamaluddin Ibrahim yang diarah untuk mengambil cuti setelah rancangannya "Say Hi To Malaysia" dalam stesen radio 98.8 disiasat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), dan Hishamuddin Rais, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sepanjang ini mencabar sistem yang sedia ada dengan pandangannya yang penuh kontroversi.
Lebih menarik, biarpun keempat-empat ahli panel ini berketurunan Melayu, namun mereka berasal dari dunia yang berlainan bahasa. Jamaluddin Ibrahim, misalnya lebih fasih untuk bertutur dalam bahasa Cina, dan mempunyai peminat dari komuniti Cina. Forum yang dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Hak Sivil SCAH, 1 Muted Malaysia dan MerdekaReview.com ini dijalankan dengan terjemahan oleh moderator, Chai Chee Fatt.
Guan Eng naik Haji tahun depan?
Hishamuddin Rais bermula dengan analisis bagaimana orang Melayu ditakut-takutkan, dan diperbodohkan agar pemerintah mengambil kesempatan untuk mengaut kepentingan diri. Pawang dan bomoh dalam kampung akan menyebarkan khabar hantu, dan kemudian akan diberikan telur dan beras oleh orang kampung yang telah ditakut-takutkan. Dalam politik moden, Hishamuddin Rais mendakwa model ini terus digunapakai, dan orang Cina dalam konteks hari ini telah dijadikan "hantu" untuk menakut-nakutkan orang Melayu.
Beliau sempat melontarkan jenaka ketika menyindir politik perkauman yang dimainkan dewasa ini, "Sekarang kamu boleh nampak, setiap hari, UMNO kata DAP pergi surau-lah, Lim Guan Eng sembelih lembu-lah...Lepas tu, tahun depan, Lim Guan Eng naik Haji...kemudian, Lim Kit Siang bersunat!"
Malah, Hishamuddin Rais (gambar kiri) mempersendakan kenyataan bahawa orang Cina bakal mengambil-alih kerajaan di Malaysia, "Mengapa orang Cina mahu mengambil alih negara ini? Ini sesuatu yang pelik. Negara ini negara yang paling teruk disalah-urustadbir (mismanaged) di dunia...polisnya rasuah, sistem kehakimannya rasuah. Kalau Lim Kit Siang jadi Perdana Menteri, dalam tiga hari beliau akan ditendang keluar!"
Budaya perbincangan intelektual di Universiti
Ketika menjawab soalan daripada hadirin, Hishamuddin Rais mengimbas nostalgianya bagaimana suburnya budaya perbincangan intelektual dalam universiti, pada zaman tahun 1960-an dan 1970-an. Menurut Hishamuddin Rais, yang juga pemimpin gerakan siswa ketika itu, persatuan dan pertubuhan dalam kampus akan menempah dewan pada setiap malam Rabu, untuk menganjurkan forum.
Untuk beliau, budaya ini adalah tradisi pengetahuan, menyaksikan bagaimana idea baru dicabar, sementara idea lama disingkirkan. "Ini adalah kegunaan universiti...ini adalah apa yang dikatakan pendidikan!" Pandangan Hishamuddin menerima tepukan dari bawah pentas.
"Kemudian, datang seorang yang bernama Mahathir Mohamad. Beliau musnahkan institusi. Beliau memusnahkan universiti sebagai institusi untuk pembelajaran. Mengapa? Kerana banyak pandangan yang berbeza dari kampus. Banyak demonstrasi, banyak "tidak setuju" (disagreement) datang daripada orang muda!"
Malah, Hishamuddin Rais memperlihatkan kekecewaannya apabila perbincangan intelektual kini terpaksa mengambil tempat di SCAH, atau hotel yang disewa, yang untuknya bukan tempat yang sesuai. "Ia seharusnya berlaku dalam dewan universiti. Apa yang terjadi sekarang adalah semuanya tertutup!"
Beliau yang gagal menahan kemarahan akhirnya mencemuh UMNO, yang dipersalahkan kerana memusnahkan segala-gala ini.
Feudalisme sebati dengan jiwa Melayu
Amir Muhammad, yang pada mulanya "terasa malas untuk hadir" kerana melihat tajuk forum (Melayu juga dibisukan), cuba mengulas isu ini di luar kerangka perkauman, mengambil contoh bagaimana "senarai tahanan ISA dari dulu hingga sekarang" memperlihatkan corak "1Malaysia".
Bagaimanapun, pembikin filem bebas ini berkongsi pengamatannya bahawa "feudalisme adalah satu perkara yang amat sebati dengan jiwa Melayu, yang berkurun-kurun lamanya." Amir Muhammad mengimbas sejarah bagaimana kaum Melayu menyembah kepada raja Hindu sebelum kedatangan Islam, dan bagaimana penyembahan ini dialihkan kepada Raja dan Sultan Islam, seterusnya kepada pemerintah sekarang.
Malah, feudalisme ini tidak terhapus hanya dengan pertukaran sistem politik, misalnya kepada republik. Ketika menjawab soalan dari hadirin, Amir Muhammad mengambil contoh bagaimana ketiga-tiga negara republik termasuk Singapura, Filipina dan Indonesia, yang terjatuh ke dalam neo-feudalisme, apabila rakyatnya masih cenderung untuk mengundi calon yang "dilahirkan daripada sperma seorang tokoh dahulu".
Mengulas isu negara republik, Hishamuddin Rais yang juga pembikin filem seketika dahulu enggan memberi jawapan yang "dramatik", misalnya menganjurkan Revolusi Bolsheviks dan sebagainya, tetapi tetap mengusik hati ramai.
Hishamuddin tidak tertarik untuk hapuskan raja, tapi...
Beliau berkata, "Menukar kepada (sistem) Republik, untuk saya tidak begitu penting. Saya tidak tertarik hati untuk menghapuskan raja-raja. Untuk saya, kamu boleh mempunyai seramai raja yang boleh. Tapi kamu kerja. Kamu boleh mempunyai seorang raja yang memandu teksi, kamu boleh mempunyai Sultan Negeri Sembilan memandu teksi...saya ok. Kamu boleh jadi Raja, Tan Sri, tapi kamu kerja sebagai nelayan...kamu boleh jadi Raja, kamu boleh jadi Sultan, apa masalahnya?"
"Masalahnya, mereka tidak bekerja (they are not working)...Mereka menyalahgunakan wang (they are abusing the money). Itu masalahnya!"
Hishamuddin Rais menegaskan,"...tapi, jangan suruh saya menghormati anda, kerana penghormatan bukan dipaksakan kepada rakyat. Kita memberikan penghormatan, kerana kita wajib berikan penghormatan kepada orang yang seharusnya kita hormati."
Malah, beliau memberi contoh bagaimana negeri India yang juga mengekalkan kerabat dirajanya, telah memperlihatkan perubahan. "Di India, ada raja-raja yang jalankan perniagaan hotel. Mereka masih mempunyai kerabat diraja, kamu nak jual kacang putih, kamu boleh jual kacang putih... Apa masalahnya?"
Amir: Mengapa raja tidak bersatu?
Amir Muhammad yang mengkaji filem tanah air turut berkongsi pengamatan dirinya. Beliau mendapati filem pada tahun 1940-an hanya menjadikan raja sebagai wira, tetapi "revolusi mental" berlaku apabila filem seperti Hang Jebat pada tahun 1950-an, menampilkan raja dengan perwatakan yang jahat, dengan menganjurkan kemungkinan bahawa Sultan boleh berkelakuan jahat, seperti bunuh, rogol dan sebagainya dalam filem.
"Sebenarnya benda yang ditanggap tak boleh disoal, pernah disoal sebelum ini. Padahal benda yang baik berlaku. Kalau orang dahulu sudah menyoal, orang sekarang ada tanggungjawab untuk menyoal dengan lebih..," kata Amir Muhammad (gambar kiri), sambil mengingatkan bahawa kebodohan Utusan Melayu hanya bermula pada tahun 1960, apabila UMNO mengambil-alih akhbar tersebut.
Amir terus mempersoalkan, "Baru-baru ini, Sultan Perak dan Sultan Selangor, dua-dua kata orang Islam kena bersatu. Saya pun bertanya sebagai soalan, hak saya untuk mengutarakan soalan, kalau sultan-sultan ini nak bersatu, kenapa kita ada sembilan ...(Raja/Sultan)? Kenapa kita satu-satunya negara di dunia yang ada sistem rotating (bergilir)? Macam roda rolet..."
"Ini adalah apa yang berlaku semasa kemerdekaan. Dan mungkin ramai tidak diberitahu atau disedarkan bahawa semasa kemerdekaan, institusi raja adalah institusi yang tak nak kemerdekaan. Sebab dia tahu dia akan hilang kuasa!" katanya.
Ketawa pun perlu ambil lesen?
Sebelum mengakhiri ucapannya, Hishamuddin Rais menyeru agar orang Cina memberi lebih simpati kepada orang Melayu, kerana orang Melayu kini telah diperbodohkan, dibonsaikan mindanya sehingga malas untuk berfikir. Beliau sempat mengusik pemimpin UMNO apabila mengeluarkan kata-kata, "Lebih dahsyat, Muhyiddin Yassin (TPM) dan Lokman Adam (yang lompat parti) memikir untuk mereka!"
Zunar (gambar kanan), atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, meneruskan jenaka Hishamuddin Rais, yang berbunyi "nak ketawa pun perlu ambil lesen" apabila memperkenalkan kartunis yang diharamkan koleksi karyanya ini. Zunar menggelakkan hadirin ketika menceritakan pengalaman bagaimana kartunnya diharamkan, dan proses beliau disoalsiasat oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam soal-siasat tersebut, majalah jenaka kartun kelolaan Zunar dituduh bersifat "politikal", namun dinafikan satu persatu, dari muka depan hinggalah ke muka akhir. Zunar mempertahankan isu gadis Mongolia dibom, isu kematian Teoh Beng Hock yang dibangkitkan dalam majalah tersebut sebagai "isu jenayah", dan orang Malaysia seharusnya mempunyai hak untuk membincangkan isu yang berlaku di Malaysia.
Malah, Zunar menyatakan ketidakpuasannya kerana kelangsungan majalahnya ditentukan hanya seorang Menteri yang berkuasa. Beliau rela berdepan dengan audien di pasaran, dan sanggup menerima nasib seandai karyanya tidak mendapat sambutan di pasaran.
Zunar yang buku dan majalah terbitannya "diganggu" dari setiap lapisan, dari pencetak, vendor sehinggalah pemilik kedai, menuding jari kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Beliau bertegas bahawa pencetak yang tugasnya hanya mencetak, iaitu yang akan menanyakan soalan pertama "buku ini hitam putih atau berwarna, kertas 70 gram atau 80 gram" itu tidak harus dipertanggungjawabkan dalam penerbitan.
Beliau memberi gambaran bagaimana pencetak dan vendor diugut untuk tidak mencetak karya kartunnya, yang dianggap "mengancam keselamatan dalam negeri".
Jamaluddin: Untuk kepentingan diri pemerintah
Jamaluddin Ibrahim melanjutkan kupasan Hishamuddin Rais sebermulanya, bahawa segala "hantu" yang diwujudkan tidak berkaitan dengan nasionalisme, perlembagaan persekutuan dan sebagainya, sebaliknya hanya percaturan politik kelas pemerintah untuk mengekalkan kuasa, lantas menjaga kepentingan diri.
Jamaluddin (gambar kanan) yang disekat beritanya oleh media cetak yang dimiliki Tiong Hiew King dalam tempoh tiga minggu yang lalu, merungut bagaimana Sin Chew Daily memainkan peranan yang menyerupai Utusan Malaysia, iaitu mempermainkan isu yang tidak menyenangkan kalangan komuniti Cina.
Beliau yang bekerja di stesen radio bahasa Cina ini menyahut apa yang dibentangkan ahli panel sebelumnya, iaitu pemerintah sebenarnya tidak mahu rakyatnya dicelikkan, sama ada dalam konteks UMNO dengan masyarakat Melayu, mahupun MCA dengan komuniti Cina.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.