Inilah buat kali pertamanya dalam 30 tahun pemerintahannya Abdul Taib Mahmud telah membatalkan sidang media yang telah dijadualkan, yang biasa diadakan di Wisma Bapa Malaysia seminggu selepas mesyuarat Kabinet. Malah para pemberita telah dilarang memasuki bangunan itu, dilayan seperti orang-orang yang tidak dikehendaki. Perkara ini nampaknya remeh, tetapi ianya dilihat sebagai suatu petanda ketara yang kurang sihat, selari dengan perkembangan politik semasa.
Apakah agaknya membuatkan Taib berubah perangai? Apakah tekanan yang dialaminya dan juga rakan-rakan menterinya sehingga mereka mengelak diri dari bertemu para media yang selama ini telah mempromosikan mereka?
Kita boleh membuat kesimpulan, bahawa himpunan bahan bukti telah semakin meninggi, bahawa Taib kini telah secara tiba-tiba sedar bahawa beliau sudah menemui jalan buntu untuk mengelak dari menghadapi soalan-soalan mengenai kesalahan rasuah dan perolehan kekayaan beliau sekeluarga yang luar biasa yang dimilikinya di Sarawak mahupun di luar negara.
Dengan isu kini yang semakin menjadi tajuk-tajuk utama media di seluruh Malaysia dan berkembang ke luar negara, para pemberita tempatan pula mendapati sukar untuk mengelakkan diri dari bertanyakan soalan-soalan mengenainya. Dan, dengan membatalkan sidang media, maka jelaslah Taib kini sudah kekeringan idea untuk menghadapi soalan-soalan dari pihak media.
Ianya kelihatan seperti kelemahan yang serius di tengah-tengah rejim Taib yang kini semakin takut berhadapan dengan pihak media. Perlu kita ingat bahawa Taib pernah merasa tercabar semasa bermesyuarat di Dewan Undangan tidak berapa lama dahulu.
Mungkin beliau telah berjaya menipu semasa pilihanraya yang lalu untuk mendapatkan majority undi 2/3, tetapi setelah menggunakan rasuah dan memanipilasi para penggundinya, namun 45% pengundi adalah penentangnya dan kini sudah wujud pakatan YB pembangkang, yang dengan berani mencabarnya berbanding masa-masa dahulu.
Maka, bagaimana caranya beliau mengelakkan dari berhadapan dengan soalan-soalan para pembangkangnya mengenai isu-isu rasuah dan kronisme? Bagaimana caranya beliau mengatasi aduan mereka berhubung isu-isu tanah-tanah dan kontrak-kontrak yang diserahkannya kepada anak-anak dan saudara-saudaranya, dengan membelakangkan sistem tender terbuka untuk kebaikan umum di Sarawak?
Nampaknya semasa persidangan DUN beliau telah memadamkan mikrofon para pembangkang, memadamkan soalan-soalan mereka dari rekod hansard kerajaan dan menendang keluar ahli-ahli pembangkang keluar dewan!
Inilah cara beliau mengelak dari ditanya soalan-soalan yang sukar dijawab, maka beliau telah bertindak seoalah-olah tidak pernah ditanya. Demikian juga yang dialami oleh pihak media kini, yang dijangka akan mengemukakan set-set soalan, beliau telah mengarahkan semua pintu masuk ke tempat sidang media itu dikunchi!
Soalan-soalan yang dijangka akan menghantui Taib
Maka, apakah jenis soalan yang enak ditanya pada Taib jika beliau sudi membenarkan pihak media masuk untuk sidang media itu? Di sini kami mencadangkan lima soalan terbaik buatnya:
“YAB Ketua Menteri, bagaimanakah YAB akan menjelaskan kekayaan YAB sekeluarga bernilai US$1.5 billion yang telah diperolehi menerusi hanya 14 dari 400 buah syarikat YAB?”
“YAB Ketua Menteri, YAB pernah mengakui bahawa YAB sekeluarga ‘tidak menjalankan sebarang bentuk perniagaan di Sarawak untuk mengelakkan tuduhan umum yang YAB menggunakan pengaruh untuk memperkayakan diri sendiri’. Maka, bagai manakah caranya YAB menjelaskan mengenai lebih 300 buah syarikat tempat YAB sekeluarga melabur itu?”
“YAB Ketua Menteri, arwah isteri YAB merupakan bekas pemegang terbesar saham-saham dalam syarikat gergasi di Sarawak, CMS. Namun beliau telah meninggal dunia dua tahun yang lalu. Beliau pernah menerima saham-saham itu dari saudara YAB, Onn Mahmud, maka siapa pula mewarisi ke semua saham arwah itu?”
“YAB Ketua Menteri, mengapakah YAB masih lagi menyerahkan semua tanah negeri dan kontrak negeri yang bernilai tinggi kepada ahli-ahli keluarga YAB menerusi urusan-urusan berahsia, tanpa menggunakan sistem tender terbuka?”
“YAB Ketua Menteri, seseorang yang memegang dua kerakyatan adalah salah di sisi undang-undang, adakah anak perempuan YAB, Jamilah masih seorang rakyat Malaysia (memandangkan beliau adalah pemegang saham-saham dalam 87 buah syarikat di negeri Sarawak) atau adakah beliau telah menjadi rakyat Kanada sebagaimana diakui oleh sumai beliau sendiri, Sean Murray?”
Terdapat banyak lagi soalan yang boleh ditanya oleh para media terhadap Ketua Menteri, dan kami mencadangkan para penyumbang soalan akan menuliskannya pada ruangan komen kami di sini. Soalan-soalan seperti di atas boleh juga ditanya oleh pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan pasukan penyiasat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malah, rakan-rakan politik Taib dan juga Perdana Menteri Malaysia sendiri.
Tugas berat untuk pihak media
Kini Taib sudah tidak berminat lagi bersidang dengan pihak media, maka ianya akan menjadi suatu cabaran bagi mereka untuk mendapatkan isu-isu daripadanya. Sebelum ini akhbar-akhbar di negeri Sarawak telah bergantung penuh pada sumber berita mengenai pergerakan Taib dan rakan-rakan menterinya, tanpa persoalan dan kritikan.
Akhbar The Borneo Post adalah milik kroni pembalakannya Henry Lau dari syarikat KTS, dan separuh dari pegangan dalam akhbar The Sarawak Tribune pula adalah milik sepupunya Hamed Sepawi, dan disunting oleh anak perempuan sendiri, Hanifah Abdul Taib.
Namun, jika Ketua menteri itu tidak akan memberikan para media tempatan mengenai cerita atau berita pergerakannya dan juga mengenai teori-teori pembangunannya, apakah jenis berita yang harus mereka tulis?
Sekali lagi, kami akan berasa gembira jika para pembaca blog kami ini menuliskan cadangan-cadangan dalam ruangan komen di sini. Namun kami tetap akan mencadangkan para media di Sarawak untuk menziarahi rakyat Sarawak yang mendiami kawasan-kawasan yang jauh terpencil di pedalaman dengan melalui jalan dan denai yang mana alam sekitarnya telah musnah akibat pembalakan dan perladangan berleluasa dan tidak terkawal.
Pihak media juga harus mengambil kira kenapakah kebanyakan penduduk luar bandar dan pedalaman tidak lagi mendapat bekalan air yang bersih dan sumber makanan dari sungai. Pihak media juga harus mengambil kira cerita mengenai kes-kes rampasan tanah. Mereka boleh memaparkan berita mengenai kejadian-kejadian tanah runtuh. Mereka boleh juga meneliti kes-kes kemerosotan mutu kesihatan dan perubatan di kawasan-kawasan pedalaman dan bagaimana gejala rasuah telah mengganggu proses pembekalan perubatan yang sempurna.
Pihak media juga harus menceritakan mengenai kurangnya mutu persekolahan anak-anak pedalaman. Kenapakah jalan-jalan yang pernah berkali-kali dijanjikan tidak menjadi kenyataan? Pihak media juga boleh menulis mengenai ancaman samseng ke atas orang-orang tempatan yang mempertahankan tanah hak adat mereka, yang mana hutan-hutan negeri Sarawak pernah diagung-agungkan sebagai biodiversity – pokok-pokok hutan dan haiwan-haiwan liarnya.
Kami juga ingin menyarankan agar pihak media tempatan harus menulis mengenai kehidupan dan masalah yang melanda penduduk luar bandar dan pedalaman Sarawak, selain menuliskan berita-berita yang membosankan mengenai Abdul Taib Mahmud, seorang Ketua Menteri yang sudah usang dan takut pula meletakkan jawatannya kerana takut akan penggantinya menyelongkar rahsia-rahsia bagaimana beliau memperolehi kekayaan yang luar biasa! -sarawakreport