Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, June 22, 2011

MCA, Faham Dulu Undang-Undang Tanah Negeri


Tindakan MCA yang tiba-tiba bersuara lantang baru-baru ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Ia merupakan tindakan biasa bagi parti politik yang telah hilang punca. Justeru, tindakan mereka dilihat semata-mata cuba menunjukkan parti itu masih relevan selepas menerima tamparan hebat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

Meskipun begitu, selaku parti yang pernah memerintah, sepatutnya MCA membuat kajian lebih teliti sebelum cuba menunjuk pandai. Mereka menuduh kononnya Kerajaan Negeri Selangor yang kini dipimpin oleh Pakatan Rakyat cuba membeli undi dengan memperkenalkan dasar pemberi-milikan penuh tanah kepada para pemilik rumah dengan bayaran sebanyak RM1000.

Dalam kenyataan yang diberikan oleh Datuk Theng Book, Ketua Biro Aduan Awam MCA Selangor yang dilaporkan oleh akhbar The Star Online pada 9 Jun 2011 lalu, beliau memetik Seksyen 76 Kanun Tanah Negara yang menjelaskan bahawa “…semua premium mesti dibayar sepenuhnya sebelum milikan tanah diberikan kepada pemiliknya”.

Dalam laporan yang sama juga beliau ada memberi cadangan, bahawa jika Kerajaan Negeri Selangor mahu membantu golongan miskin,  premium boleh dikurangkan kepada RM1.

Kita berterima kasih dengan keperihatinan yang tiba-tiba ditunjukkan MCA namun saya ingin memberi nasihat agar mereka mencari peguam yang lebih baik untuk memahami Undang-Undang Tanah Negeri. MCA yang selama ini hanya menjadi rakan “yes man” kepada UMNO semasa diberi peluang memerintah negeri Selangor, nampaknya begitu kekok dan gagal memahami dasar pentadbiran negeri.

Saya ingin memaklumkan kepada mereka di samping kita mempunyai Kanun Tanah Negara, undang-undang tanah juga dilengkapi dengan Kaedah-kaedah dan Peraturan Tanah Negeri Selangor; Selangor Land Rule. Natijahnya, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kuasa untuk menentukan kadar premium bagi tujuan pembaharuan, pertukaran atau pemanjangan tempoh pemilikan tanah.

Sebelum mengumumkan dasar tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat kajian, mendapatkan persetujuan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan meminta nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri. MCA sepatutnya menyokong dasar yang menguntungkan rakyat ini.

Setidak-tidaknya mereka bertanya kepada para penduduk yang diberikan geran tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2008, “kenapa anda tidak memiliki tanah sebelum ini semasa Barisan Nasional memerintah?”. Kita percaya para penerima geran tanah ini boleh memberitahu MCA apa perbezaan pentadbiran Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Kita bersyukur, sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, MCA telah mula menggunakan perkataan pertanggungjawaban yang sebelum ini begitu terpinggir dari perbendaharaan kata mereka. Ketua Pemudanya, Dr. Kow Cheong Wei menuntut pertanggungjawaban peruntukan sebanyak RM15 juta untuk tujuan penyebaran maklumat.

“Bidalan Pukul Anak Sindir Menantu” amat bertepatan apabila beliau mengaitkannya dengan perbelanjaan RM1.8 juta oleh Menteri Pelancongan untuk sebuah laman Facebook yang barang pasti jumlah tersebut turut mengejutkan mereka.
Kita telah membuat pengiraan, RM15 juta yang diperuntukkan untuk menyampaikan maklumat kepada seluruh rakyat Selangor membawa maksud setiap rakyat membelanjakan RM3 setahun. Berbeza dengan RM1.8 juta untuk satu projek Kementerian untuk membuat promosi melalui laman Facebook yang boleh dibuat secara percuma. Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada MCA kerana mengemukakan isu ini.

Selangor telah pun menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat malangnya para Ahli Dewan Negeri Barisan Nasional, termasuk MCA sendiri telah menolaknya. Enakmen tersebut adalah komitmen tertinggi sebuah kerajaan dalam mewujudkan pertanggungjawaban.

Jika MCA benar-benar ikhlas mahu meningkatkan pertanggungjawaban dan pentadbiran negeri, MCA sepatutnya menyokong penggubalan enekmen ini atau sekurang-kurangnya menggesa kerajaan pusat agar bersifat professional di dalam mengembangkan maklumat di seluruh Negara termasuk di dalam negeri Selangor.

Sebaliknya apa yang berlaku, seluruh cerita mengenai Selangor, baik dari segi dasar mahupun program- program kemasyarakatan telah dipadamkan dari arus media perdana. Kalau adapun adalah cerita yang memburuk-burukkan pentadbiran negeri.

Kita tahu MCA tidak pernah bersuara tentang kepincangan kebebasan media di negara ini. Justeru, hipokrasi mereka menyerlah apabila mencanangkan persoalan pertanggungjawaban.

Kita cabar MCA, sebelum menyebut perkataan pertanggungjawaban- MCA wajib menjelaskan pemilikan tunai, aset dan hartanah mereka yang nilainya mencecah ratusan juta hingga billion ringgit.

Bagaimana mereka boleh memiliki semua kekayaan ini? Bagaimana dengan rakan politik mereka dalam Barisan Nasional boleh memiliki kekayaan masing-masing? Jangan sampai meludah ke langit kerana nanti ia akan tertimpa ke muka sendiri.

Sepanjang tiga tahun memperkenalkan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor dengan pelbagai pakej bantuan, lebih sejuta rakyat dan keluarga telah mendapat manfaat daripadanya. Itu tidak termasuk pemberian tanah dan juga bantuan-bantuan lain di luar program terbabit.

Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat akan terus komited mendahulukan rakyat dalam persoalan dasar dan juga program yang mahu dilaksanakan. 

Terpulang kepada MCA dan Barisan Nasional untuk memperlekeh program yang kita lakukan, namun kita percaya, rakyat lebih bijak menilai. BN telah berpeluang sekian lama untuk berkhidmat dan ternyata gagal.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular