Grab the widget  IWeb Gator

Saturday, June 4, 2011

Terburainya propaganda Najib


Keputusan pemilihan PAS 2011 memperlihatkan bahawa perwakilan PAS telah mencipta sejarah apabila berjaya menangkis serangan propaganda UMNO, dan bangkit untuk menuntut perubahan yang jelas dalam PAS. Saf pimpinan yang terpilih kini bukan untuk melanjutkan nafas PAS semata-mata, malah lebih dekat dengan denyutan nadi masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Sesungguhnya Mohamad Sabu akan didakwa menang di celah-celah retakan undi perwakilan yang menuntut agar "ulama" dipilih untuk menyandang jawatan Timbalan Presiden, namun rekod sejarah ini tetap bermakna jikalau diteliti dalam konteks politik terkini.

Terburainya propaganda UMNO

Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, Utusan Malaysia milikan UMNO kelihatan lebih ghairah untuk mendukung "kepimpinan ulamak" dalam wacananya. Malah, UMNO secara terang-terang mempertahankan "gandingan Hadi-Nasha", dan niatnya cukup jelas. Bertopengkan "kepimpinan ulamak", Utusan Malaysia-UMNO pada hakikatnya lebih selesa dengan "Hadi-Nasha", kerana sering terperangkap dalam isu kerjasama/rundingan bersama UMNO.

Kini, Mohamad Sabu berjaya memahat sejarah untuk tampil sebagai Timbalan Presiden yang bukan dari latar belakang ulama, selepas konsep "kepimpinan ulama" diketengahkan pada zaman 1980-an untuk menjatuhkan Presiden PAS ketika itu, Asri Muda. Mat Sabu, 56, pemimpin veteran yang sudah 34 tahun melibatkan diri dalam PAS, terkenal sebagai pemidato di peringkat akar umbi dan pendiriannya yang jelas dalam perjuangan politiknya.

Namun, makna yang tersirat di sebaliknya lebih jauh daripada itu. Sesungguhnya sesetengah perwakilan masih belum terkeluar dari sentimennya untuk mengekalkan ulama pada dua jawatan tertinggi dalam parti, lebih-lebih lagi diasak dengan propaganda UMNO yang mengombak. Keputusan Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding mungkin disebabkan perkiraan terhadap senario di atas, lantas menawarkan diri kepada perwakilan yang mahukan "ulama", tetapi tidak berpuas hati dengan prestasi penyandang, Nasharuddin Mat Isa.

Bagaimanapun, Mat Sabu berjaya melepasi halangan kali ini, dengan sokongan kira-kira 40% perwakilan yang menuntut agar pimpinan tinggi menunjukkan pendirian yang lebih jelas dalam perjuangan. Mat Sabu, sekurang-kurangnya menjamin hubungan yang lebih erat antara PAS dengan parti komponen Pakatan Rakyat, khususnya DAP. Malah, pemimpin yang terkenal untuk mengatur demonstrasi jalanan ini mempunyai hubungan yang erat dengan badan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang belum menyertai Pakatan Rakyat.

Mengisi kekurangan Presiden

Kemenangan Mat Sabu juga perlu dibaca dalam konteks pimpinan Presiden Abdul Hadi Awang. Hadi Awang, pernah disifatkan sebagai "Abdullah Ahmad Badawi versi PAS", berikutan sikapnya yang tidak tegas dalam pendirian politik, misalnya isu rundingan bersama UMNO. Untuk berlaku adil kepada Abdul Hadi Awang, beliau tidak melakukan "kesilapan" yang besar sehingga wujud keperluan untuk "digulingkan", dan banyak juga perubahan yang diberi lampu hijau dalam zaman pemerintahannya, misalnya penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Baru-baru ini, Khalid Samad, pemimpin terserlah yang dilabel sebagai "Erdogan", membela Hadi bahawa Presiden perlu mengambil kira semua pandangan dari aliran/sekta yang berbeza, dan mungkin ada baiknya jikalau Hadi selaku orang nombor satu tidak memainkan peranan kontroversi untuk membawa perubahan mendadak.

Bagaimanapun, Mat Sabu kini diamanahkan untuk mengisi kekurangan Hadi Awang. Kepetahan beliau berceramah, keupayaan beliau mengatur demonstrasi jalanan, malah kebolehannya untuk menterjemahkan perjuangan Islam kepada nilai sejagat, menjelmakan Islam dalam dasar pentadbiran - ditaruh harapan tinggi untuk mempercepatkan langkah PAS dalam arus perubahan ini. Seandainya Mat Sabu berjaya menunjukkan prestasi yang terserlah dalam tempoh jawatannya, maka PAS akan berubah menjadi parti politik yang lebih terbuka dan inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia.

Nizar tewas dengan undi terendah

Namun demikian, kekalahan bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin dengan undi terendah mungkin ditafsirkan sebagai kecacatan dalam kesempurnaan keputusan pemilihan ini. Untuk masyarakat bukan Melayu/Islam yang kurang prihatin terhadap PAS, Nizar Jamaluddin mungkin satu-satu nama pemimpin PAS yang mampu disebutnya. Barangkali Nizar tewas atas sebab-sebab tertentu, antaranya senioriti beliau dalam PAS, namun ia semestinya mengubah persepsi masyarakat bukan Melayu/Muslim terhadap PAS seandainya bekas MB ini menang sebagai Naib Presiden.

Secara keseluruhannya, saf pimpinan yang dibariskan perwakilan kali ini cukup ampuh untuk PAS berdepan dengan perubahan zaman. Perwakilan dianggap matang dan berani, apabila memilih empat pemimpin bukan ulama untuk mengisi lima jawatan tertinggi, sementara satu pertiga daripada 18 AJK Pusat adalah pemimpin dari latar belakang ulama.

Kemenangan pemimpin seperti Hatta Ramli, Kamaruddin Jaafar, Mohamed Hanipa Maidin, Dzulkifly Ahmad, Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad, Siti Mariah dan sebagainya, bakal menampilkan pimpinan yang berkemampuan untuk berdebat dalam soal dasar pentadbiran (dan bukan hanya berdakwah) kepada masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun, sesetengah pengamat politik masih gusar dengan saf pimpinan Dewan Pemuda PAS, yang ditunjangi Nasrudin Hassan Tantawi dan Nik Abduh, anak kepada Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat. Nasrudin tertonjol dengan imejnya yang konservatif dari kaca mata penduduk bandar, sementara Nik Abduh yang menang dengan 260 daripada 655 undi, dalam pertandingan empat penjuru - dilihat sebagai pemimpin yang pro-kerjasama UMNO.

Nik Abduh pernah menuduh bahawa ayahandanya menolak konsep "kerajaan perpaduan" kerana dipengaruhi "pembantu-pembantunya yang berpakaian serba tahu" - dan kenyataan ini membuatkan beliau digolong sebagai pemimpin yang masih ingin membuka pintu rundingan kepada UMNO.

Apa yang "memberangsangkan" mungkin berlaku dalam Dewan Muslimat, apabila pemilihannya menyaksikan kemenangan Siti Zailah Mohd Yusof selaku Ketua Dewan Muslimat dan Siti Mariah Mahmud sebagai Timbalannya. Kedua-dua orang pemimpin wanita ini mungkin menggilap semula pimpinan muslimat, untuk menyuntik elemen baru dalam perjuangan PAS.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular