Grab the widget  IWeb Gator

Friday, February 11, 2011

semangat perjuangan melalui denai dan onak ranjau

Jom ke wacana Prof. Dr. Zulkifli Muhammad


Harakahdaily   
DATUK PROFESOR DR. ZULKIFLI MUHAMMAD: TOKOH INTELEKTUAL DAN PEJUANG ISLAM DI TANAH MELAYU
Alam Melayu merupakan bumi yang subur dalam perkembangan agama Islam sehingga menjadi tumpuan bangsa lain untuk belajar Islam seperti mana yang pernah tercatat dalam sejarah Melayu. Tanah Melayu walaupun bertukar tangan penjajah, namun masih mampu mempertahankan akidah penganutnya. Ini kerana kesungguhan ulama dan madrasah yang membentengi ummah daripada serangan pemikiran musuh.

Tanah Melayu dalam denai sejarahnya tidak pernah gagal untuk melahirkan pejuang-pejuang yang berani berdada dengan kezaliman. Antaranya ialah Tuan Guru Haji Hasan bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain.

Pada awal abad ke-20 pula menyaksikan gerakan kesedaran Islam, Pan-Islamisme yang anginnya kencang bertiup dari Timur Tengah sama ada Mesir ataupun Mekah. Latar belakang penjajahan Barat, kemunduran akliah, dan keterpurukan ummah yang sedang menyelimuti umat Islam pada awal abad ke-20 telah memungkinkan anak-anak muda berpendidikan Islam dirasuk dengan fahaman ini.

Ikon utama dunia Pan-Islamisme ini ialah Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Rashid Redha telah menyuntik kesedaran dan semangat untuk berubah kepada anak-anak muda lulusan Kaherah dan Mekah. Hasilnya, terpancarlah fahaman ini ke merata ceruk bumi, menciut nyaring gegendang penjajah Barat. Kesan yang besar daripada fahaman ini ialah munculnya gerakan kesedaran umat Islam untuk memurnikan ajaran Islam daripada unsur khurafat dan bidaah, menentang penjajah Barat, dan seterusnya bangkit memerdekakan tanah air.

Di Tanah Melayu, gerakan awal seperti Sarekat Islam (cawangan Indonesia) telah pun ditubuhkan di Kemaman, Terengganu pada awal abad ke-20, yang berakhir dengan kebangkitan rakyat menentang British di Terengganu pada tahun 1928. Juga sebuah gerakan yang diinspirasikan oleh Ikhwanul Muslimin iaitu Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol pada tahun 1948. Semangat jihad umat Islam menentang penjajah British begitu sekali membara sehingga Ordinan Darurat 1948 menyaksikan penangkapan besar-besaran telah dibuat terhadap tokoh-tokoh pergerakan Islam daripada Hizbul Muslimin, seterusnya melemahkan gerakan tersebut secara sistematik. Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) pula yang ditubuhkan pada tahun 1951 terus menyambung perjuangan Hizbul Muslimin untuk menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu.

Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) tidak pernah kekeringan tokoh dalam menyuarakan aspirasi perjuangan Islam walaupun berhadapan dengan mehnah dan ujian di sepanjang sejarahnya. Antara putera pintar yang pernah melakarkan namanya pada langit sejarah Tanah Melayu ialah Profesor Dr. Zulkifli Muhammad. Beliau merupakan seorang pejuang sekaligus intelektual awal di Tanah Melayu. Beliau merupakan ideologue PAS, malah bergandingan bahu dengan tokoh besar perjuangan Islam di alam Melayu iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Beliau dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak, negeri yang telah menyaksikan ramai tokoh-tokoh perjuangan Islam dilahirkan. Zulkifli Muhammad lahir dalam keluarga yang paling mengambil berat urusan pendidikan anak-anak. Kecerdasan dan bakat yang membumbui tokoh ini terserlah semenjak kecil lagi. Beliau pernah menghadiri peperiksaan khas bagi mengambil pelajar peringkat tinggi Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol dan beliau satu-satunya calon yang lulus dalam ujian tersebut. Minatnya kepada politik terserlah semenjak remaja di mana beliau anti-penjajahan dan meminati tokoh-tokoh perjuangan anti-penjajah di dalam dan luar negara. Anak muda ini berbakat dalam bidang penulisan dan dunia kesusasteraan, malah turut menghasilkan beberapa karya.

Justeru dalam menghayati dan menelusuri sejarah panjang perjuangan tokoh besar di Tanah Melayu ini dengan lebih mendalam dan berkesan, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melalui Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Wacana Perdana Dato’ Profesor Dr. Zulkifli Muhammad : Tokoh Intelektual dan Pejuang Islam di Tanah Melayu yang bakal diadakan pada Sabtu, 12 Februari 2011 bersamaan 9 Rabiul Awwal 1432 Hijrah, dari 8.30 pagi hingga 2.00 petang, bertempat di Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi (berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan Darussyifa’).

Wacana ini bakal menampilkan tokoh-tokoh akademik dan pimpinan pemuda seperti Ustaz Dato’ Haji Abu Bakar Chik, Profesor Dr. Redhuan Othman, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ustaz Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ustaz Riduan Mohamad Nor. Penyertaan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dengan yuran pendaftaran serendah RM10. Penganjur dengan ini menjemput kepada semua yang berminat termasuk para pencinta ilmu dan pendokong perjuangan Islam dalam mencambahkan ilmu dan merancakkan semangat perjuangan melalui denai dan onak ranjau yang pernah dilalui oleh tokoh besar ini di Tanah Melayu. http://bit.ly/fQpj0B
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular