Grab the widget  IWeb Gator

Saturday, February 5, 2011

“Takkan Melayu hilang di dunia”

Dr Mahathir kata ungkapan ini perlu dinilai untuk menentukan Melayu mana yang tidak boleh hilang.

Oleh Mawdudi al-Bana
Kata-kata “Takkan Melayu hilang di dunia” merupakan kata-kata terakhir Laksamana Tun Tuah sebelum kembali ke rahmatullah.

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata bahawa kata-kata ini perlu dinilai untuk menentukan Melayu mana yang tidak boleh hilang.
Yang peliknya Melayu yang kuat, kaya, berpengetahuan dan cekap berniaga dan sebagainya wujud di dalam kem politik Umno dan kem politik PKR-PAS.

Golongan ini penting kepada kedua-dua belah pihak kerana berpotensi melakar wacana politik masa depan.
Beliau juga dilaporkan berkata bahawa masyarakat Melayu lemah kerana tidak bersatu padu di bawah naungan Umno.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya bertajuk Orang Melayu dan Masa Depan di dalam sidang Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak).

Persoalan yang diutarakan apakah ada kebenaran di dalam kenyataan ini?

Adakah pengunduran Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyatukan masyarakat Melayu yang diura-urakan berpecah?

Pernyataan Tun Dr Mahathir seolah-olah membayangkan bahawa keseluruhan masyarakat Melayu hanya bernaung di bawah kepimpinan Umno.
Sejarah membuktikan sebaliknya.

BN mencermin PKR
Era 1930an membuktikan bahawa orang Melayu pernah mendukung aspirasi mereka menerusi pelbagai pertubuhan.

Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf dan juga Parti Komunis Malaya pernah menjadi wadah perjuangan nasionalisme anak watan Melayu.

Dari sudut demokrasi, kehadiran lebih banyak parti sahsiah adalah tanda perkembangan demokrasi positif.
Ia juga akan memberi peluang kepada orang Melayu untuk menumpukan perhatian kepada aspek kehidupan lain selain kaum Melayu semata-mata. Umpamanya jika Ahmad mahukan penekanan terhadap Islam, maka pilihannya tentu PAS.

Bagi mereka yang mahukan pentas berbilang kaum, maka PKR atau DAP akan jadi pilihan, bukannya parti Melayu mahupun parti berdasarkan perkauman yang lain.

Sebenarnya, kehadiran PKR juga meningkatkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan keturunan. Pihak Umno tidak wajar mengadu perihal ini kerana komponen parti Barisan Nasional bagai mencermin PKR.

Pertelingkahan politik yang diwar-warkan oleh Mahathir juga sebenarnya polemik politik semata-mata. Ketiga-tiga parti majoriti Melayu mempunyai pendekatan dan kaedah berbeza untuk mencapai aspirasi rakyat.

Mahathir juga dilaporkan berkata bahawa ada orang Melayu begitu yakin untuk berdikari sehingga membantah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang digubal untuk membantu meningkatkan taraf masyarakat Melayu.

Umno harus gembira sekiranya orang Melayu mahu berdikari tanpa menggunakan “tongkat DEB”. Pada awal tahun lepas terdapat peningkatan dalam bilangan orang Melayu yang meninggalkan Malaysia. Adakah pola ini bukti keberkesanan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tepuk dada tanya selera.

Tongkat DEB
Ini adalah bukti tongkat DEB diberi secara eksklusif dan orang Melayu tidak memerlukan tongkat. Hanya individu tersebut mengetahui cacat cela mereka. Ia tidak perlu diingatkan oleh golongan politikus.

Bantahan terhadap DEB bukan hanya wujud di kalangan mereka yang berjaya malahan di kalangan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dalam dekad 90an seorang anak Melayu berjaya menjadi datuk bandar di Britain. Adakah ia berlaku kerana DEB? Sudah tentu tidak.

Beliau menjadi datuk bandar atas daya usahanya sendiri.
DEB yang dimulakan pada tahun 1970 sepatutnya ditamatkan pada 1990 tetapi masih diteruskan dengan pelbagai nama lain.

Pelaksanaan yang tidak dipantau menyebabkan hanya segelintir kecil yang mendapat faedah.

Contohnya, isu permit kereta luar negeri (AP) mendedahkan Umno hanya menjaga kepentingan golongan elit Melayu.

Laporan media turut menunjukkan Mahathir sedih kerana orang Melayu sanggup menggadaikan apa sahaja demi sokongan politik orang bukan Melayu.

Mungkin tokoh negarawan ini terlupa bahawa Umno yang memulakan budaya ini di dalam sektor ekonomi menerusi budaya “Ali Baba”.

Di dalam usaha meningkatkan ekonomi Melayu, ramai yang dilantik menjadi pengarah syarikat dengan gaji buta dari orang bukan Melayu.

Beliau turut menyentuh isu ketuanan Melayu, dengan menyatakan Melayu tidak boleh bermegah sebagai tuan sedangkan mereka hamba.

Umno dan Melayu
Lantas persoalan yang perlu ditanya adalah dari mana datangnya konsep ketuanan ini. Menurut profesor undang-undang, Shad Saleem Faruqi, konsep ini tiada dalam perlembagaan negara.

Perlembagaan hanya menyatakan kedudukan khas orang Melayu. Mantan mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, turut menidakkan ketuanan kerana semua umat dianggap sama tarafnya kecuali dari sudut ketaqwaan sebagaimana yang tertera di dalam Al-Quran.

Mahathir turut dilaporkan menyatakan bahawa negara ini akan selamat dari penaklukan asing sekiranya rakyat memahami dan menerima konsep 1Malaysia.

Dalam konteks keselamatan hari ini, ancaman bukan hanya disebabkan oleh negara malah oleh pelaku bukan negara. Justeru adalah penting untuk pihak keselamatan memantau ancaman pelaku bukan negara bukannya menerima 1Malaysia seada-adanya.

Jika benar 1Malaysia diamalkan mengapa pula wartawan bukan Melayu dari sebuah laman portal tidak dibenarkan membuat liputan ucapan Mahathir?

Sebagai penutup bicara, penulis ingin menegaskan, takkan Melayu hilang di dunia sekiranya Umno yang hilang kerana Melayu wujud sebelum kelahiran Umno.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular