Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, January 5, 2011

Wabak FMD dikesan di lima negeri di Semenanjung


Gambar Hiasan
PUTRAJAYA, 5 Jan – Wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) yang menyerang ternakan lembu tenusu, telah dikesan di lima negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin ketika mengesahkan perkara itu berkata, bagaimanapun, wabak itu dalam keadaan terkawal.


Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukan kira-kira RM2 juta bagi membantu penternak yang terjejas akibat wabak berkenaan, termasuk pemberian wang tunai, lembu tenusu serta perubatan.

Dr Abdul Aziz turut menafikan laporan bahawa lebih 20 pusat ternakan terjejas akibat wabak FMD di Negeri Sembilan.

Katanya, hanya empat pusat di negeri itu terjejas akibat penyakit yang boleh menjangkiti semua ternakan seperti lembu, kerbau, kambing dan babi, tetapi tidak berjangkit kepada manusia.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menyasarkan 2016 bagi mencapai status bebas FMD.

Sehubungan itu, Dr Abdul Aziz berkata, Pusat Kuarantin Antarabangsa (IQC) perlu dibina bagi membendung penularan wabak seperti FMD dan penyakit lain yang menyerang ternakan kerana ia mampu menjejaskan ekonomi negara.

Beliau berkata, IQC akan dijadikan penempatan sementara ternakan dari luar negara bagi membina imunisasi haiwan tersebut, selain memantau kehadiran wabak penyakit.

“Ternakan akan ditempatkan di IQC sekurang-kurangnya dua bulan, sebelum dibawa ke pusat ternakan,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai lembu tenusu di sini hari ini.

Beliau berkata, kos pembinaan IQC dianggarkan kira-kira RM10 juta dan ia perlu dibina di lokasi terpencil seperti pulau, dengan keluasan 8.0937 hektar.

- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular