Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, January 5, 2011

Kampung Baru berusia 111 tahun esok


KUALA LUMPUR, 5 Jan – Ramai yang tidak menyedari bahawa Kampung Baru yang merupakan penempatan utama masyarakat Melayu di tengah-tengah ibu kota akan berusia 111 tahun esok.

Sehubungan itu, pelbagai program sambutan yang julung-julung kali diadakan bakal dianjurkan oleh Centrepro Sdn Bhd bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan turut diraikan kira-kira 35,000 penduduknya.


Menurut Pengarah Urusan Centrepro Sdn Bhd, Ishak Abdul Kadir, acara akan bermula esok dengan majlis tahlil dan kesyukuran di Masjid Jamek dan beberapa buah surau.
Acara kemuncak sambutan ialah majlis makan malam yang dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan depan atau bulan berikutnya.

“Sambutan buat julung kalinya dalam sejarah penubuhan Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) ini bertujuan untuk menghargai dan mengenang kembali perjuangan mereka yang telah tiada mahupun yang masih ada di kampung bersejarah ini.

“Di samping itu, ia bagi mengabadikan kenangan 111 tahun kewujudan pentadbiran MAS Kampung Baru di ibu kota Kuala Lumpur.

“Angka 111 tahun merupakan angka unik dan MAS sebagai satu lembaga di bawah kaum Melayu dilihat sebagai pentadbir yang teguh yang mempertahankan sebuah kampung yang berjuang untuk orang Melayu.

“Tanggungjawab sebagai orang Melayu yang mementingkan sentimen Melayu menjadi pendorong untuk mengadakan sambutan memperingati perjuangan bangsa sendiri dalam mempertahankan sebuah kampung yang pernah ditadbir penjajah suatu masa dahulu,” kata Ishak kepada Bernama.

Beliau yang juga Penyelaras Acara Kampung Baru Warisan Kita memberitahu, antara program sambutan ialah Hari Kesihatan pada Sabtu ini bermula 8 pagi hingga 6 petang dengan pelbagai program disediakan seperti senaman, derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma dan peraduan untuk kanak-kanak yang akan berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman.

Selain itu, penduduk dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa juga berpeluang menyertai Hari Sukan dan Permainan Tradisional pada Ahad ini dilokasi yang sama.

Forum Perdana bertajuk ‘Bermula Di sini – Kampung Baru’ akan diadakan pada Selasa depan juga di Kelab Sultan Sulaiman, Karnival Kampung Baru (12 Jan), Hari Hijau (15 Jan), Hari Kesenian dan Warisan (16 Jan) serta Karnival Futsalselama dua hari bermula 22 Jan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dijadual menghadiri Karnival Kampung Baru pada 12 Jan dan seterusnya melancarkan Pameran MAS Kampung Baru (Tiga Alam) yang merujuk kepada MAS yang mentadbir Kampung Baru di bawah pentadbiran British dan pendudukan Jepun sebelum negara mencapai kemerdekaan.

- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular