Thursday, January 6, 2011

Bayang Anak Tiri Sebagai Isteri Sebelum Merogolnya. Gila!


Saya petik:
[HM] MELAKA: “Fakta kes adalah jelas, kesalahan dilakukan tertuduh iaitu merogol mangsa yang masih kecil berusia sembilan tahun adalah kesalahan jijik. Paling memeranjatkan dalam kes ini, tertuduh boleh membayangkan mangsa sebagai isterinya lalu terangsang dan merogolnya.”

Begitu kata Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin ketika berhujah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap seorang pengawal keselamatan berusia 53 tahun dari Kampung Tanjung Bidara, Masjid Tanah, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu merogol dan mencabul kehormatan anak tirinya pada penghujung 2008 dan pertengahan November lalu.

Ifa yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik berkata, kedua-dua kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan boleh membawa hukuman berat.

Katanya, walaupun tertuduh bukan bapa kandung, tanggungjawabnya tetap sama untuk melindungi mangsa.

“Apa dilakukan sebaliknya, tertuduh mengulangi kesalahan pada November lalu. Jelas kejadian berlaku tanpa pengetahuan ibu mangsa dan tertuduh mengambil kesempatan ketika ketiadaannya.

“Impak bukan saja kepada mangsa tetapi masyarakat terutama mangsa yang masih kecil mengalami trauma kekal sebagai pengalaman pahit sepanjang hidupnya.

“Saya pohon budi bicara mahkamah memberikan hukuman yang berat kepada tertuduh atas dua kesalahan dan merujuk fakta kes diakui tertuduh,” katanya.

Pada prosiding itu, tertuduh mengaku bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia sembilan tahun 11 bulan di sebuah rumah di Jalan BKP 3 Taman Bukit Katil Permai, dekat sini, kira-kira jam 2 pagi pada penghujung 2008.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencabul kehormatan mangsa sama yang ketika kejadian berusia 11 tahun empat bulan iaitu memasukkan jari ke dalam kemaluannya kira-kira jam 4 petang pada pertengahan November lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua seksaan itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Katar selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pendakwa raya, menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara enam tahun bagi kesalahan kedua.

* Gambar sekadar hiasan.